Ikuti Kami:

Kembali Menyala: Menara KL Terangi Langit Tahun Baru dengan Pertunjukan Bunga Api Selepas 28 Tahun

Kembali Menyala: Menara KL Terangi Langit Tahun Baru dengan Pertunjukan Bunga Api Selepas 28 Tahun

Selepas hampir tiga dekad, Menara Kuala Lumpur bakal mencipta sejarah dengan mempersembahkan semula pertunjukan bunga api yang ikonik untuk Sambutan Tahun Baru 2025.

Acara bertemakan Quarter Century Celebration ini dijangka menyinari langit Kuala Lumpur pada malam 31 Disember 2024, membawa kenangan manis kepada para pengunjung yang menyaksikan detik bersejarah ini.

Untuk pertama kalinya sejak perasmian Menara Kuala Lumpur pada tahun 1996, pertunjukan bunga api berdurasi lima minit akan berlangsung di dua lokasi eksklusif, iaitu Tower Terrace dan Aras TH07.

Dengan pancaran warna-warni yang memukau, acara ini menjanjikan pemandangan yang luar biasa bagi mereka yang ingin menyaksikan sambutan tahun baru dari tempat yang unik dan ikonik.

Selain itu, persembahan muzik secara langsung oleh Sky Band juga akan menambah kemeriahan suasana, mengiringi detik-detik terakhir 2024 dan menyambut kedatangan tahun baru.

Menara Kuala Lumpur akan dibuka untuk pengunjung mulai jam 9:00 malam, dengan hidangan ringan dan pek parti disediakan untuk memeriahkan suasana.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Encik Nazli bin Saad, berkata bahawa sambutan tahun baru kali ini menandakan detik bersejarah yang mengimbau semula asal-usul Menara Kuala Lumpur sebagai simbol pembangunan dan kemajuan ibu kota.

“Sejak tahun 1996, kami berdiri sebagai simbol pembangunan dan kemajuan Kuala Lumpur. Selepas 28 tahun, kami sangat teruja untuk membawa kembali pertunjukan bunga api ini kerana ia memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan pengunjung antarabangsa untuk meraikan malam Tahun Baru dalam suasana yang ikonik.” katanya.

Tiket berharga RM88 seorang kini dibuka untuk tempahan. Tempat adalah terhad, jadi pastikan anda tidak terlepas peluang untuk merayakan sambutan Tahun Baru 2025 di Menara Kuala Lumpur, salah satu lokasi terbaik di ibu kota.

Untuk pertanyaan lanjut, sila hubungi +603-2020 5421 atau lawati laman web https://kltower.com.my/ticketv2/public/products/quarter-century-new-year-celebration.

Komen
Loading...