“Kemas Kemas Raya”: Lagu Raya Unik Top 5 CSOIAM Bawa Kelainan Syawal Ini!
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Meraikan Syawal dengan pendekatan segar, Top 5 Calpis Soda One In A Million (CSOIAM) tampil dengan lagu raya unik, Kemas Kemas Raya, yang membawakan mesej berbeza daripada kebiasaan.
Lagu ini bukan sahaja menghiburkan tetapi juga mengingatkan tentang kepentingan menyiapkan rumah sebelum menyambut Aidilfitri.
Menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam genre pop, lagu ini menampilkan lima bintang berbakat – Marygrace, Kai Deva, Jimi, Zazzleen, dan Mariam.
Dengan melodi yang segar dan lirik yang mudah dihafal, Kemas Kemas Raya menjanjikan pengalaman muzik yang lebih dekat dengan generasi muda, khususnya Gen Z.
Menurut komposer dan penulis lirik lagu ini, Adam Stapler, idea Kemas Kemas Raya muncul sebagai kelainan daripada lagu raya tipikal.
“Selalu kalau lagu raya, mesti cerita tentang duit raya, lemang, dan bermaafan. Sebab itu kami bawakan lagu yang rare ini dengan mesej simple tapi penting iaitu untuk kemas rumah dulu sebelum raya,” katanya.
Proses rakaman lagu ini berlangsung dengan pantas tetapi penuh komitmen. Hanya dalam masa empat jam, kelima-lima anggota berjaya merakam bahagian masing-masing.
“Kami dapat demo petang, dan pada malam yang sama terus jalani sesi rakaman. Semua orang memang beri komitmen terbaik!” kata Zazzleen.
Mariam memuji Adam kerana memberikan hala tuju jelas dan idea kreatif yang menjadikan lagu ini lebih menarik sepanjang proses rakaman.
Cabaran terbesar bagi mereka adalah memastikan lagu ini benar-benar membawa semangat raya yang ceria dan bertenaga.
“Kami perlu memastikan semangat raya benar-benar dirasai melalui gambaran yang ceria, bertenaga, dan penuh kemeriahan dalam setiap bait lirik yang disampaikan,” kata Kai Deva.
Namun, pengalaman ini amat berharga dan mereka semua teruja untuk bekerjasama lagi di masa hadapan.
Marygrace berharap Kemas Kemas Raya menjadi sebahagian daripada playlist raya kerana ramai yang boleh kaitkan dengan keperluan mengemas rumah sebelum Aidilfitri, sambil menambah mood raya.
“Lagu ini wajib didengari sebab ramai yang boleh relate dengan situasi perlu kemas rumah sebelum raya. Bolehlah pasang lagu ini sambil mengemas, tambah mood raya sekali!” katanya.
Jimi turut berharap lagu ini dapat menyatukan keluarga dan rakan-rakan dalam suasana yang lebih ceria dan bermakna.
Dengarkan Kemas Kemas Raya sekarang di iTunes atau strim terus di Spotify dan YouTube Music.
Jangan lupa kongsikan lagu ini dan jadikan ia latar belakang untuk content raya anda! Raya lebih seronok dengan rumah kemas, badan sihat, dan hati pun tenang!