“Kemana Ni”: Gabungan Hip Hop & Reggae dari Luca Sickta, Kmy Kmo & Salammusik
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Industri muzik tempatan kembali bergema dengan pelancaran single terbaharu berjudul “Kemana Ni”, hasil kolaborasi tiga nama besar dalam industri muzik Malaysia, iaitu Luca Sickta, Kmy Kmo, dan Salammusik.
Lagu ini diterbitkan secara rasmi di bawah naungan Sony Music Malaysia, membawa gabungan elemen hip hop dan reggae yang menyampaikan mesej introspektif tentang kehidupan serta cabaran dunia moden.
Projek ini lahir daripada perjalanan panjang sejak 2018 apabila Kmy Kmo mencetuskan idea untuk mencipta sebuah lagu yang menggambarkan perjalanan hidup manusia dalam mencari makna dan arah.
Luca Sickta menyifatkan lagu ini sebagai sebuah pencapaian yang akhirnya direalisasikan setelah melalui pelbagai fasa penciptaan.
“Salammusik adalah artis pertama yang saya dekati untuk projek ini, dan dia terus menyambut baik idea ini. Perjalanan ini penuh cabaran, tetapi semangat untuk berkongsi cerita kami tidak pernah luntur,” kata Luca Sickta.
Bagi Salammusik, pengalaman merakam lagu ini juga unik kerana sebahagian besar prosesnya berlaku secara jarak jauh.
“Saya dibimbing oleh Luca walaupun berada di Amsterdam. Walaupun kebanyakan proses berlaku dari jauh, semangat tetap terasa dekat,” jelasnya.
Lagu “Kemana Ni” menggambarkan dilema manusia ketika melangkah ke alam kedewasaan, menghadapi keputusan besar dalam hidup, dan mencari arah yang tepat.
Menurut Kmy Kmo, hidup sebenar bermula apabila seseorang melangkah keluar dari zon selesa. “Di sinilah kita diuji untuk membentuk kehidupan sendiri,” katanya.
Dalam acara yang sama, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Malaysia, Kenny Ong, mengumumkan penyertaan Luca Sickta dan Kmy Kmo sebagai sebahagian daripada keluarga label tersebut.
Dari segi muzik, “Kemana Ni” menampilkan gabungan unik hip hop dan reggae yang disusun secara teliti oleh penerbit Luca Sickta.
“Kami ingin setiap elemen dalam lagu ini mencerminkan keaslian dan harmoni, seperti air dan api,” ujar Kmy Kmo.
Harapan mereka adalah agar lagu ini menjadi inspirasi kepada pendengar yang sedang mencari hala tuju dalam hidup.
“Kami ingin lagu ini menjadi pembakar semangat, terutama pada waktu pagi sebelum memulakan hari,” jelas Kmy Kmo.
Single “Kemana Ni” kini boleh didengarkan di semua platform penstriman muzik utama. Saksikan gabungan unik tiga ikon muzik Malaysia dalam karya penuh makna ini.