Keluarga Orang Asli Desak Penjelasan Polis atas Kematian Anak dalam Lokap, Rakaman CCTV Tidak Didedahkan
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu
Pasangan suami isteri Orang Asli dari Pekan, Pahang, mendesak pihak polis menjelaskan mengapa mereka tidak dibenarkan melihat rakaman CCTV setelah anak mereka dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan lokap IPD Pekan pada 4 Mei lalu.
Menurut laporan Sinar Harian, Noriah Hitam, 51, dan suaminya, Me King King, 58, menyatakan bahawa mereka tidak diberitahu sebarang perkembangan mengenai kes kematian anak mereka, Norazman Me, 25, yang ditahan berkaitan kes kecurian motosikal.
Kata Noriah, hanya siasatan oleh pasukan polis Bukit Aman yang dimaklumkan kepada mereka.
“Sudah hampir lima bulan kejadian berlaku, namun kami langsung tidak menerima sebarang maklum balas daripada polis. Saya tidak puas hati dan mendesak siasatan kematian anak saya dilakukan secara terperinci dan adil,” katanya.
Noriah turut meluahkan kekesalannya kerana mereka tidak dibenarkan melihat rakaman CCTV di lokap untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi.
“Pada 4 Mei, kira-kira jam 3 pagi, kami menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan anak lelaki saya telah meninggal dunia, dan mayatnya dibawa ke HTAA untuk bedah siasat,” tambahnya.
“Mayat diserahkan kepada keluarga selepas selesai bedah siasat untuk dibawa pulang dan dikebumikan.”
Namun, selepas itu, mereka tidak menerima sebarang jawapan mengenai kes tersebut walaupun telah beberapa kali cuba menghubungi pegawai yang terlibat melalui telefon dan WhatsApp untuk mengetahui perkembangan terkini.
Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, mengesahkan pihak polis telah melakukan siasatan awal berhubung kematian tersebut.
“Kes ini telah dibuka sebagai kertas siasatan SDR (mati mengejut) selepas kejadian itu. Saya juga bersedia untuk bertemu dengan keluarga mangsa bagi memberikan penjelasan lanjut mengenai kes ini,” katanya.