
Filem aksi adiwira tempatan yang mencetus fenomena sejak ditayangkan di pawagam, Keluang Man, kini boleh ditonton secara eksklusif menerusi platform Astro First dan sooka bermula hari ini.
Penonton boleh menyaksikan Keluang Man melalui saluran 480 dan On Demand di Astro dengan harga RM15, serta di platform penstriman sooka pada harga yang sama.
Tayangan ini membolehkan penonton menikmati filem tersebut berulang kali dalam tempoh 48 jam selepas pembelian, pada bila-bila masa dan di mana sahaja mengikut keselesaan.
Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad, penayangan filem ini di Astro First dan sooka adalah sebahagian daripada strategi untuk memastikan karya tempatan berkualiti terus mendapat tempat dalam kalangan penonton pelbagai lapisan.
“Keluang Man merupakan langkah awal kepada pembentukan satu dunia sinematik tempatan yang lebih besar. Kami amat menghargai sambutan luar biasa daripada penonton di pawagam dan kini mahu memperluas akses kepada mereka yang tidak berkesempatan menontonnya sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Filem Keluang Man mengisahkan Borhan, seorang pesakit mental yang melarikan diri dari Hospital Tumpoi pada waktu malam.
Didorong oleh masa silam yang menghantuinya, dia mula membentuk identiti baharu sebagai adiwira tempatan. Cerita ini diadaptasi daripada siri animasi terkenal era 1990-an yang sinonim dengan generasi rakyat Malaysia.
Diarahkan oleh Anwari Ashraf dan diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, Wonda Kopi dan Pasal Productions, Keluang Man menampilkan barisan pelakon popular seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Halim Othman, Amelia Henderson dan ramai lagi.
Penonton juga boleh mendapatkan Keluang Man – Koleksi Kita Enjoi!, sebuah koleksi eksklusif yang ditawarkan pada harga RM49. Maklumat lanjut mengenai koleksi ini boleh didapati menerusi media sosial rasmi Astro First.
Untuk pembelian dan maklumat lanjut mengenai tayangan di Astro First, layari www.support.astro.com.my, manakala langganan menerusi sooka boleh dibuat di www.sooka.my/tab/movies.
Orang ramai turut digalakkan mengikuti akaun media sosial Astro First di Instagram, TikTok dan Facebook untuk perkembangan terkini mengenai filem Keluang Man.