Keluang Man Gegar Pawagam 29 Mei, Permulaan Era Astro Shaw Cinematic Universe
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Tahun ini bakal mencatat sejarah baharu dalam dunia perfileman tempatan apabila adiwira ikonik tanah air, Keluang Man, kembali ke layar perak menerusi filem aksi ‘live-action’ yang dinanti-nantikan.
Bakal ditayangkan bermula 29 Mei 2025, filem ini bukan sahaja menandakan kebangkitan semula adiwira legenda tersebut, malah menjadi permulaan rasmi kepada Astro Shaw Cinematic Universe (ASCU).
Diterbitkan oleh Astro Shaw bersama beberapa rakan strategik, Keluang Man membuka lembaran baharu dalam naratif filem tempatan — memperkenalkan dunia sinematik tersendiri ala Marvel atau DC, namun berteraskan identiti, budaya dan semangat Malaysia.
Pelancaran treler rasmi hari ini memperlihatkan sentuhan sinematik berkualiti tinggi, dengan elemen aksi mendebarkan yang menggabungkan teknologi visual moden dan naratif tempatan.
Filem ini dijangka menarik perhatian bukan sahaja peminat setia siri animasi asal, tetapi juga generasi baharu yang dahagakan karya lokal berkelas antarabangsa.
“Kami amat teruja kerana Keluang Man bukan sekadar sebuah filem, tetapi pelancaran sebuah alam sinematik — Astro Shaw Cinematic Universe — yang menjanjikan pengalaman merentasi layar perak,” ujar Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw.
Beliau turut menekankan bahawa pelbagai inisiatif telah dirancang sejak tiga tahun lalu termasuk kemunculan Keluang Man sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67, serta mural gergasi yang diabadikan di Kluang, Johor sebagai penghormatan kepada wira tempatan ini.
Sebagai sebahagian daripada pelan pemasaran strategik, pelbagai kerjasama dengan jenama lokal telah dimeterai untuk memperluas pengalaman penonton: Wonda Kopi Kluang Edisi Terhad menampilkan lima rekaan pek istimewa menampilkan karakter dari dunia Keluang Man; ‘Wonda-ful Keluang Man Burger’ hasil kolaborasi dengan myBurgerLab, burger bertemakan sut Keluang Man tersedia di semua cawangan pada harga RM20;
Keluang Man WONDA Fun Run berlangsung 18 Mei di Menara DBKL dengan jersi edisi khas untuk 1,000 peserta terawal; Koleksi Eksklusif Royal Selangor & FK Sneakers oleh Fung Keong figurin dan kasut khas edisi terhad diinspirasikan dari ikon Keluang Man; serta Jersi Eksklusif Abstrax direka premium dan sarat dengan elemen heroik.
Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, menyatakan bahawa Keluang Man adalah ikon Malaysia yang menyatukan nostalgia dan kebanggaan tempatan, serta menunjukkan potensi besar kandungan kreatif negara sebagai platform berimpak tinggi.
“Keluang Man adalah ikon sebenar Malaysia. Inisiatif ini bukan sahaja menyatukan nostalgia dan kebanggaan tempatan, tetapi juga menunjukkan potensi kandungan kreatif negara sebagai wadah berimpak tinggi.” katanya.
Diarahkan oleh Anwari Ashraf, filem ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nas Muammar Zar, Dato’ Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, dan Amelia Henderson.
Filem ini diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, Pasal Productions dan rakan strategik utama Wonda Kopi.
Untuk peminat yang ingin mengimbau semula asal-usul Keluang Man, siri animasi klasik boleh distrim di www.keluangman.com — dari musim pertama hingga ketiga.
Dengan pelancaran ini, Keluang Man bukan hanya menghidupkan semula adiwira rakyat yang ikonik, tetapi juga menjadi batu asas kepada pembinaan dunia sinematik Malaysia yang menyeluruh.
Ia membawa mesej jelas — bahawa adiwira tempatan mampu berdiri setanding dengan produksi antarabangsa dan mempunyai kuasa menyatukan masyarakat menerusi kisah, aksi dan semangat kebanggaan nasional.
Ikuti perkembangan terkini filem ini di TikTok, Instagram, Facebook, dan X milik Astro Shaw dan Astro Gempak. Gunakan #KeluangMan dan #KeluangManMovie untuk turut serta dalam keterujaan ini.
Keluang Man bakal terbang tinggi. 29 Mei ini — jangan ketinggalan!