Ikuti Kami:

Keluang Man Cipta Fenomena: Lebih 7,000 Sertai Larian Superhero Pertama di Malaysia

Keluang Man Cipta Fenomena: Lebih 7,000 Sertai Larian Superhero Pertama di Malaysia

Fenomena Keluang Man terus mencetuskan gelombang apabila lebih 7,000 peserta membanjiri pusat bandar raya pagi ini bagi menyertai Keluang Man WONDA Fun Run, larian bertemakan adiwira tempatan pertama seumpamanya di Malaysia.

Acara anjuran Astro Shaw dengan kerjasama Wonda Kopi dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini berlangsung meriah bermula di Menara DBKL, sebagai sebahagian daripada program Car Free Morning yang saban bulan dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Bermula seawal jam 6.45 pagi, peserta pelbagai lapisan umur mengenakan topeng ikonik Keluang Man sambil menyertai sesi pemanasan badan sebelum pelepasan rasmi dilakukan pada jam 7.00 pagi oleh watak Keluang Man sendiri, maskot BeBe serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah binti Mohd Sharif.

Penyertaan yang luar biasa itu turut diserikan kehadiran barisan pelakon filem Keluang Man seperti Nas Muammar Zar, Datuk Rosyam Nor, Shweta Sekhon, Anwaar Beg Moghal, Sham Sunder dan Razzuan Rosli, selain persembahan menarik daripada Krisya dan kumpulan S.O.G, penyanyi lagu tema filem berkenaan.

Menurut Ketua Astro Shaw merangkap Penerbit Eksekutif Keluang Man, Raja Jastina Raja Arshad, penganjuran larian itu bukan sekadar untuk promosi filem semata-mata, tetapi bagi memperkukuh nilai dan semangat adiwira tempatan dalam kalangan rakyat.

“Keluang Man mencerminkan keberanian, kekuatan dan ketangkasan. Kami berharap nilai ini mampu menyuntik inspirasi kepada rakyat Malaysia untuk kekal aktif dan percaya bahawa kita semua mampu menjadi ‘superhero’ dalam kehidupan harian,” katanya.

Selain larian sejauh 5 kilometer itu, pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan termasuk sesi bergambar bersama pelakon, cabutan bertuah, jualan barangan eksklusif Keluang Man, serta peluang merasai Wonda Kopi Kluang dan menu istimewa seperti Wonda-ful Keluang Man Burger.

Menariknya, kolaborasi antara Keluang Man dan Wonda Kopi dalam penghasilan Wonda Kopi Kluang turut mencatat rekod jualan membanggakan dengan lebih dua juta tin terjual dalam tempoh lapan bulan.

Filem Keluang Man yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 29 Mei ini diarahkan oleh Anwari Ashraf dan diterbitkan oleh Astro Shaw dengan kerjasama GSC, Idea River Run, dan rakan produksi Pasal Productions.

Barisan pelakon turut dibarisi oleh Dato’ Remy Ishak, Halim Othman, Amelia Henderson, Dennis Yin, dan ramai lagi.

Komen
Loading...