Kelly Azman Hargai Finalis AJL39, Tampil Dengan Muzik Video Medley Unik!
- oleh Mohd Indera
- 2 bulan lalu

Menjelang detik kemuncak Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), selebriti serba boleh, Kelly Azman tampil dengan satu penghormatan khas buat semua finalis acara berprestij itu.
Demi menghargai karya-karya hebat yang bakal bersaing pada 16 Februari ini, Kelly telah menghasilkan sebuah muzik video medley yang menggabungkan 10 lagu finalis AJL39 dengan konsep unik dan penuh kreativiti.
Kelly atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob, 48, mendedahkan bahawa projek ini merupakan inisiatif peribadi yang dilakukan atas dasar cinta dan penghormatan terhadap industri muzik tempatan.
Baginya, setiap lagu yang mara ke peringkat akhir AJL39 wajar diraikan dan mendapat pengiktirafan sewajarnya.
Demi menjayakan projek ini, Kelly mengambil masa kurang daripada seminggu untuk menyiapkan muzik video berkenaan. Lebih menarik, beliau turut mengenakan 10 persalinan berbeza untuk setiap lagu yang dipersembahkan.
“Saya mahu memberikan yang terbaik, jadi saya ambil masa lebih kurang seminggu untuk buat persiapan, termasuk pemilihan konsep dan pakaian. Saya juga mendapatkan khidmat juruvideo profesional untuk memastikan kualiti video ini berada pada tahap terbaik.” katanya
Kelly juga menegaskan bahawa persembahan dalam video ini dilakukan secara ‘live recording’, sekali gus menampilkan kelainan berbanding sekadar rakaman biasa.
Mengulas lanjut mengenai keputusannya menghasilkan muzik video ini, Kelly berkata inisiatif ini lahir dari keinginannya untuk menghargai semua finalis AJL39 yang telah berjaya membawa karya masing-masing ke peringkat akhir.
“Saya mahu menghargai dan meraikan semua 10 lagu yang bertanding. Jika bukan saya yang buat, siapa lagi? Ini cara saya menunjukkan sokongan dan menghiburkan netizen, terutama peminat setia AJL.” katanya.
Meskipun muzik video tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen, termasuk kritikan, Kelly tetap positif dan tidak berkecil hati.
Baginya, selagi usaha ini membawa kegembiraan kepada peminat muzik tempatan, itu sudah cukup bermakna.