Ikuti Kami:

Kekecohan Di Stesen Minyak Hillpark Saujana Utama, Polis Buka Kertas Siasatan

Kekecohan Di Stesen Minyak Hillpark Saujana Utama, Polis Buka Kertas Siasatan
Sebuah insiden kacau ganggu awam berlaku di Stesen Minyak Hillpark Saujana Utama pada 17 Oktober 2024 sekitar jam 7.50 malam, apabila seorang wanita bertindak menyerang pelanggan lain menggunakan sebatang buluh.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supt Mohd Hafiz bin Muhammad Nor, insiden bermula apabila wanita tersebut memarkir kenderaannya di belakang sebuah kereta lain, menyebabkan kereta itu tidak dapat keluar.
Apabila diminta untuk mengalihkan kenderaannya, wanita itu didakwa memarahi pelanggan yang meminta.
Ketegangan memuncak apabila wanita tersebut cuba menyerang pelanggan itu menggunakan sebatang buluh. Bagaimanapun, tindakan ganasnya berjaya dihentikan oleh orang awam yang berada di tempat kejadian, sekaligus mengelakkan sebarang kecederaan.
Pihak polis menerima laporan pada jam 10.36 malam dari seorang lelaki berusia 24 tahun yang bertugas sebagai penyelia di stesen minyak berkenaan.
Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah, yang membawa hukuman penjara hingga tujuh tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana penggunaan kata-kata kurang sopan dan tingkah laku mengganggu ketenteraman awam.
Polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp Aruneswaari di talian 012-6972996.
Komen
Loading...