Kekal Yang Sementara: Nabila Taqiyyah Luah Luka Cinta Pertama dalam 8 Lagu
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu

Setelah sekian lama dinanti, penyanyi muda Indonesia, Nabila Taqiyyah, akhirnya meriliskan album pertamanya yang sarat dengan luahan perasaan dan kisah cinta penuh luka.
Berjudul Kekal Yang Sementara, album ini menjadi wadah buat Nabila mencurahkan pengalaman jatuh cinta dan putus buat pertama kali, menjadikannya antara karya paling jujur dan peribadi sepanjang kariernya setakat ini.
Di bawah naungan Universal Music Indonesia, Nabila mempersembahkan lapan buah lagu yang menyentuh tema cinta yang tidak kesampaian, keraguan, perpisahan dan keikhlasan untuk melepaskan.
Dua daripada lagu tersebut, “Ku Ingin Pisah” dan “Terpisah Terluka”, telah dilancarkan sebagai single terdahulu dan menerima sambutan hangat.
Enam lagu baru pula hadir melengkapkan naratif emosional dalam album ini, termasuk “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan”, “Salah Sangka”, “Sementara Bukan Selamanya”, “Cinta Sia-Sia”, dan lagu utama “Berjalan Tanpamu”.
Yang membezakan album ini dengan yang lain adalah keberanian Nabila untuk bukan hanya menyanyi, tetapi juga menyumbang sebagai penulis lirik dalam beberapa lagu.
Lagu-lagu seperti “Pengagum Rahasia”, “Menikmati Kebohongan” dan “Sementara Bukan Selamanya” memperlihatkan sisi kreatif Nabila yang semakin berkembang.
“Album ini adalah bentuk validasi terhadap perasaan putus cinta yang banyak orang alami. Ia bukan hanya tentang saya, tapi tentang semua orang yang pernah merasakannya,” ujar Nabila.
Walaupun tajuk Kekal Yang Sementara kedengaran bertentangan, ia membawa maksud mendalam – bahawa perasaan tulus terhadap seseorang kadangkala kekal dalam hati meskipun hubungan itu hanya sementara.
Inilah yang cuba disampaikan Nabila dalam setiap bait lirik dan melodi yang dinyanyikannya.
Lagu tumpuan “Berjalan Tanpamu” menjadi kemuncak emosi album ini. Ditulis oleh Caturadi Septembrianto dan diterbitkan oleh S/EEK, lagu ini menceritakan tentang hubungan cinta yang berakhir bukan kerana benci, tetapi kerana tiada jodoh.
Dengan susunan muzik yang minimalis, namun penuh rasa, lagu ini mengajak pendengar merenung makna kehilangan dan kekuatan untuk terus melangkah.
Secara keseluruhan, Kekal Yang Sementara merupakan potret perasaan yang jujur dan rapuh — tetapi penuh ketabahan.
Nabila berharap, melalui lagu-lagunya, pendengar yang sedang melalui fasa patah hati akan menyedari bahawa kesedihan adalah lumrah, namun hidup tetap harus diteruskan.
“Ada banyak hal positif di luar sana yang boleh kita fokuskan selain dari kesedihan. Album ini adalah perwakilan dari proses saya berdamai dengan kehilangan,” katanya mengakhiri.
Album Kekal Yang Sementara kini boleh didengarkan di semua platform digital utama.