Kehadiran Wanita Dalam Misi Kemanusiaan Tidak Wajar Dipertikaikan – Farah Lee
- oleh MDaily Editor
- 16 Oct 2025 2:15 pm

Foto Oleh: Papadin.
Aktivis kemanusiaan dan pempengaruh terkenal, Farah Lee menegaskan bahawa kehadiran wanita dalam misi kemanusiaan tidak seharusnya dipersoalkan, sebaliknya perlu dilihat sebagai satu keperluan penting dalam membantu masyarakat yang terkesan di zon konflik.
Farah atau nama penuhnya Nurfarahin Binti Romli yang baru-baru ini menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) berkata, setiap individu memiliki kemampuan dan kepakaran tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan, tanpa mengira jantina.
“Saya percaya setiap individu ada kapasiti, kepakaran dan kemampuan masing-masing. Isu tentang wanita ‘berjihad’ ini pun sudah dijelaskan oleh mufti berkenaan rukhsah jihad. Bagi kami yang biasa turun ke lapangan, kehadiran wanita sangat diperlukan kerana sifat keibuan itu penting untuk mangsa yang memerlukan,” katanya.
Menurutnya lagi, kebanyakan sukarelawan wanita yang menyertai misi sebegini melakukannya dengan restu dan sokongan penuh daripada keluarga.
“Wanita yang sertai misi seperti ini biasanya mendapat restu suami, anak-anak dan ibu bapa. Ini perjuangan bersama, bukan perjuangan wanita semata-mata, tetapi perjuangan keluarga dan juga masyarakat Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya.
Aktivis GSF hadir di majlis perluncuran Lagu Keamanan Dunia di Kelab Golf Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh malam tadi.
Farah yang berpengalaman menyertai lebih 10 misi kemanusiaan antarabangsa termasuk di Syria, Afghanistan, Lubnan, India dan Kemboja, berkata pengalaman di lapangan banyak membuka matanya tentang erti sebenar kemanusiaan.
“Sebagai manusia, kita ada rasa kemanusiaan yang sama. Tidak kira bangsa, agama atau warna kulit, kita berjuang di mana-mana sahaja yang memerlukan demi hak asasi manusia,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa media sosial kini menjadi senjata utama dalam menyebarkan kesedaran dan memperjuangkan isu kemanusiaan di peringkat global.
“Kami yang mempunyai ramai pengikut boleh gunakan platform media sosial untuk bersuara. Suara kecil bila bergabung boleh jadi gelombang besar. Malah penjajah Israel sendiri takut dengan kekuatan sosial media yang mampu menggerakkan kesedaran dunia,” jelasnya.
Farah menegaskan, penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan bukan hanya simbolik, tetapi membuktikan bahawa wanita mampu berdiri sebaris dengan lelaki dalam memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan sejagat.
Farah Lee dan barisan sukarelawan GSF ditemui ketika hadir pada Majlis Peluncuran Lagu Keamanan Dunia berjudul Rahsia & Maruah nyanyian Reyhana Yunus di Kelab Rahman Putra, di sini, malam tadi.
Lagu ciptaan Wan Andre dan lirik Datuk Seri Salim Abd Rahman ini didedikasikan khusus kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda penghargaan dan sokongan rakyat Malaysia, terhadap komitmen beliau dalam memperjuangkan keamanan sejagat.
Peluncuran lagu ini dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Shaharudin Abu Sohot.