KEETH Lancar EP ‘Hollywood Diaries’, Sasar Jelajah Asia Tenggara dan Eropah
- oleh MDaily Editor
- 7 May 2026 6:56 pm
Bintang rock Malaysia yang sedang meningkat naik, KEETH, secara rasmi melancarkan EP terbaharunya berjudul Hollywood Diaries, sekali gus menetapkan sasaran tinggi untuk menembusi pasaran muzik antarabangsa menerusi siri jelajah Asia Tenggara dan Eropah.
Pelancaran EP yang diterbitkan di bawah label Sony Music Malaysia dengan kerjasama SWYM Entertainment itu diadakan dalam satu sidang media eksklusif di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, hari ini.
KEETH pernah menggalas tanggungjawab sebagai vokalis utama kumpulan rock legenda tempatan, MAY berkata karya terbaharunya itu merupakan refleksi perjalanan peribadi beliau sepanjang menetap dan membuat persembahan di luar negara, khususnya di Los Angeles, Amerika Syarikat.
“Setiap lagu mempunyai identitinya sendiri yang dihubungkan melalui heavy riffing. Hollywood Diaries menerangkan pelbagai situasi dan emosi dalam satu pakej rock n roll. Ia adalah refleksi seni dan budaya kita sebagai orang Malaysia yang mampu berdiri sama tinggi dengan pemuzik dunia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Mengulas mengenai proses kreatif EP tersebut, KEETH mendedahkan beliau mengambil pendekatan yang sangat organik dan pantas, di mana beliau sendiri memainkan hampir keseluruhan instrumen termasuk gitar.

“Proses rakaman dilakukan di Los Angeles, Indonesia, dan Malaysia dan dalam EP ini saya tidak menggunakan sebarang autotune kerana saya mahu ia kedengaran raw dan asli,” tambahnya.
Beliau juga mengakui pengaruh pemuzik hebat tanah air seperti Datuk Awie, Wings, dan Search menjadi pendorong utama beliau untuk membawa nama Malaysia ke persada global.
“Saya membesar dengan mendengar mereka. Saya percaya kita mempunyai barisan penyanyi yang sangat bagus di dunia. Apa yang saya mahu tunjukkan ialah pemuzik dari Malaysia boleh berjaya di mana-mana sahaja.,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut kisah di sebalik single utamanya, “Fallin’ (Oceans)”, KEETH mengakui ia berdasarkan puisi peribadinya yang ditulis dalam masa 20 minit namun mengambil masa tiga tahun untuk digubah secara muzikal.
“Lagu itu sangat manis dan emosional bagi saya. Ia mempunyai elemen Nusantara dengan skala Javanese dan Balinese. Saya mahu menulis sesuatu yang mewakili mereka juga kerana Indonesia sudah seperti keluarga bagi saya. Jika ada peluang untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL), saya merancang untuk merakamkan lagu ini dalam versi bahasa Melayu,” katanya.

Menceritakan latar belakangnya, KEETH berkata minat terhadap elemen laut dalam muziknya diinspirasikan oleh hobi meluncur air (surfing) serta pengalaman mengendalikan perniagaan bot keluarganya di Pulau Tioman.
Mengenai perancangan masa depan, KEETH kini sedang dalam perancangan untuk memulakan siri jelajah di sekitar Asia Tenggara tahun ini, selain sedang berbincang dengan rakan industri di luar negara untuk membawa persembahannya ke pentas Eropah dan Amerika Syarikat.
KEETH baru sahaja meraih gelaran Naib Juara di Asia New Beat Grand Finals di Bangkok pada Mac lepas dan pernah diberi peluang membuka persembahan untuk Steven Adler (bekas pemain dram kumpulan Guns N’ Roses) di venue ikonik Whisky A Go Go, Los Angeles.
EP Hollywood Diaries kini boleh didapati di semua platform digital utama termasuk Spotify, YouTube, dan Apple Music menerusi edaran Sony Music.
