Ikuti Kami:

Kedah Nite 2026: Platform Satukan Anak Kedah di Ibu Kota

Kedah Nite 2026: Platform Satukan Anak Kedah di Ibu Kota

Kira-kira 800 anak Kedah yang menetap di perantauan bakal dihimpunkan dalam satu majlis berprestij, Kedah Nite 2026, yang dijadualkan berlangsung di Matrade Hall, di sini pada 14 Februari depan.

Dianjurkan oleh Persatuan Rantauan Warisan Kedah (Waris Kedah), majlis itu bertujuan memperkasa silaturahim dalam kalangan anak watan negeri Jelapang Padi itu, selain menjadi platform strategik bagi jaringan perniagaan dan kolaborasi ekonomi sosial.

Presiden Waris Kedah, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar, berkata penganjuran julung kali itu juga adalah bagi menyahut titah Sultan Kedah, Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang mahu melihat anak watan menyumbang kembali khidmat bakti kepada negeri asal.

“Program ini adalah permulaan kepada usaha menyatukan kepimpinan, tokoh berpengaruh, ahli sukan, serta penggiat seni kelahiran Kedah dalam satu wadah yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.

“Kami mahu memperkasa identiti dan warisan anak Kedah serta menjadikannya platform pertukaran idea dan kerjasama pelaburan jangka panjang,” katanya pada sidang media pengumuman Kedah Nite 2026 di Bangunan Matrade, baru-baru ini.

Majlis bertema ‘black tie’ dan glamor itu mendapat tajaan sepenuhnya daripada Kumpulan Weststar dengan Pengarah Urusannya, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim bertindak sebagai penaung.

Selain acara santapan yang bakal dihadiri kerabat diraja Kedah, majlis itu juga akan diserikan dengan persembahan artis antarabangsa di bawah naungan Weststar serta penyampaian anugerah pengiktirafan khas kepada tokoh anak Kedah yang mengharumkan nama negeri di peringkat global.

Antara selebriti kelahiran Kedah yang hadir menyokong inisiatif itu termasuk pelakon veteran Zulkifli Ismail, penyanyi Ezad Lazim, Asheed Def Gab C, dan pengacara popular Maria Tunku Sabri.

Sementara itu, Zulkifli Ismail menyifatkan program berkenaan sebagai usaha murni bagi mengenali bakat-bakat seni dari Kedah yang selama ini mungkin kurang mendapat perhatian khusus daripada negeri sendiri.

“Ramai yang tidak tahu saya orang Kedah sehingga saya memuat naik video loghat Kedah di media sosial. Bak kata orang, mereka boleh bawa saya keluar dari Kedah, tetapi tidak boleh membuang identiti Kedah dalam diri saya,” katanya.

Bagi anak Kedah yang berminat untuk menyertai majlis ini, pendaftaran dan RSVP perlu dilakukan sebelum 31 Januari ini melalui WhatsApp ke talian 011-5584 1957.

Yuran keahlian Waris Kedah ditetapkan pada kadar minimum RM10 untuk ahli biasa dan RM300 bagi ahli seumur hidup.

Komen
Loading...