Kebangkitan Legasi Nasyid: The Rayhan Umum Konsert dan Album Baharu
- oleh MDaily Editor
- 18 Mar 2026 1:37 am
Selepas dua dekad memendam rindu, peminat irama nasyid tanah air bakal menyaksikan kebangkitan semula legasi kumpulan nasyid tersohor negara melalui jenama ‘A.N.A The Rayhan’ yang dijadualkan menggegar ibu kota menerusi sebuah konsert, Julai depan.
Gabungan semula tonggak utama iaitu Afad, Nazrey Johani dan Amran Ibrahim bukan sekadar satu persembahan nostalgia, malah ia merupakan sebuah ‘penghijrahan’ seni yang membawa misi menghidupkan semula nuansa harmoni yang pernah mencetuskan fenomena global suatu ketika dahulu.
Menyingkap sejarah awal mereka, Afad, Nazrey Johani dan Amran Ibrahim pernah dikenali sebagai kumpulan A.N.A (Afad, Nazrey, Amran) sebelum mereka secara rasmi menubuhkan kumpulan Raihan pada tahun 1996.

Penyanyi Utama, Nazrey Johani menyifatkan penyatuan semula ini sebagai satu bentuk ‘kelahiran semula’ yang berlaku secara bersahaja namun penuh bermakna.
“Saya melihat ini sebagai satu izin daripada Allah untuk kami lahir semula membawa nuansa ini. Kekosongan selama 20 tahun ini adalah satu tempoh yang lama, dan apa yang kami lakukan sekarang adalah untuk meneruskan perjuangan menyampaikan semula lagu-lagu yang sudah lama hilang dari radar persembahan secara langsung,” katanya pada majlis Santai Moreh bersama Media di Top G Coffee & Cafe, di sini, semalam.

Mengulas mengenai gabungan bertiga kali ini, Nazrey Johani menjelaskan bahawa beliau pada mulanya tidak menyedari kekuatan gandingan tersebut sehingga mereka mula mengadakan latihan bersama.
“Saya baru sedar bahawa tiga suara ini sebenarnya sudah mencukupi untuk melengkapkan gabungan suara harmoni yang mantap. Apabila saya menyanyi dan mendengar suara Amran dan Afad, saya dapat rasa ‘kepenuhan’ bunyi itu.
“Walaupun tiga adalah jumlah minimum, kami mempunyai teknik tersendiri dalam susunan vokal. Ada bahagian korus di mana saya akan masuk ke vokal kedua untuk seketika sebelum kembali ke melodi utama bagi memastikan tune dan warna suara asal itu tetap ada. Kami tidak mahu sekadar menyanyi, tetapi mahu memberikan kualiti bunyi yang dirindui peminat,” jelas Nazrey.
Bagi Afad, penyatuan ini adalah satu tanggungjawab besar untuk mengembalikan semula kegemilangan nasyid yang seakan ‘sepi’ tanpa karya baharu daripada acuan asal mereka selama 20 tahun.

“Misi kami kali ini bukan untuk membenamkan mana-mana pihak, tetapi satu usaha murni untuk menghidupkan semula suasana nasyid yang sebenar. Saya sendiri pernah bersama Raihan selama 11 tahun, dan apabila ruang ini terbuka semula dengan penerimaan positif abang-abang (Nazrey dan Amran), kami rasa sangat bersyukur.
“Meskipun kami hanya berlatih untuk empat ke lima lagu buat masa ini, namun kami yakin mampu memberikan persembahan sehingga 25 lagu pada konsert nanti. Saya akui ada rasa gementar, namun melihat sokongan rakan media dan peminat, kami tekad untuk memberikan yang terbaik,” ujar Afad.
Dalam pada itu, Amran Ibrahim yang sebelum ini banyak menumpukan perhatian kepada keluarga di kampung sejak 2010, mengesahkan penglibatan beliau kali ini adalah sebagai anggota rasmi dan bukan lagi sebagai penyanyi sambilan (freelance).

“Sebelum ini saya bergerak secara ‘based on job’ dengan Raihan selepas keluar pada tahun 2010, namun kali ini kami (A.N.A The Rayhan) sudah diikat secara rasmi bertiga. Ini adalah projek utama saya dan saya komited untuk memastikan harmoni suara kami kembali menyentuh hati peminat,” ujar Amran.
Meskipun lokasi rasmi masih belum diumumkan, konsert ini mensasarkan kehadiran kira-kira 5,000 penonton dan pihak penganjur memberi jaminan bahawa ia akan diadakan di lokasi strategik di Kuala Lumpur yang mampu menampung skala persembahan sederhana besar.
Wakil penganjur konsert, Bintang Batu Event, Ikhram Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Atom, mendedahkan bahawa usaha menyatukan kembali figura hebat ini bukanlah satu tugas mudah, malah memakan masa lebih setahun untuk direalisasikan.

“Proses ‘meminang’ abang-abang saya ini bermula sejak Ramadan 2025 lagi. Selepas setahun perancangan dan perbincangan, akhirnya kami mencapai kata sepakat untuk menganjurkan Konsert yang setakat ini dipanggil The Rayhan Syukur 2026 pada Julai ini di Kuala Lumpur,”
“Kita akan umumkan lokasi tepat dan butiran tiket nanti. Apa yang pasti, konsert ini akan menjadi bayangan kepada perancangan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.
Bagi mengukuhkan lagi kemunculan semula ini, A.N.A The Rayhan turut mengumumkan bakal meluncurkan album penuh pada pertengahan tahun ini.
Sebagai mukadimah, mereka telah melancarkan tiga lagu baharu, termasuk lagu bertemakan Ramadan dan Raya yang kini sudah mula menemui pendengar di platform strim utama dan Youtube.
Terdahulu, kemunculan The Rayhan di Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 yang berlangsung di Saloma Kuala Lumpur pada Sabtu lepas telah menarik perhatian ramai dan menerima maklumbalas positif perminat yang hadir.
Untuk rekod, mereka bertiga adalah ahli asal kumpulan Raihan, Nazrey mengundur diri pada 2006 untuk fokus pada dakwah di Sabah, diikuti Afad yang meninggalkan kumpulan selepas 11 tahun bersama bagi bergerak solo.
Sementara itu, Amran pula memilih berehat sepenuhnya daripada dunia seni pada 2010 demi tanggungjawab menjaga keluarga di kampung dan hanya menyertai persembahan Raihan sebagai penyanyi sambilan sehingga awal tahun lalu.
Foto Oleh: Sukie Hj Bebit.




