Ikuti Kami:

Keajaiban Madu Tiga: Live In Concert Pukau Penonton, Dihadiri Perdana Menteri

Keajaiban Madu Tiga: Live In Concert Pukau Penonton, Dihadiri Perdana Menteri

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) bergema dengan hilai tawa dan melodi nostalgia apabila karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Madu Tiga, dihidupkan semula dalam satu dimensi luar biasa.

Konsert bertemakan P. Ramlee’s Madu Tiga: Live In Concert yang berlangsung hujung minggu lalu telah memberikan satu pengalaman sinematik yang mengagumkan, yang jarang sekali dapat disaksikan oleh peminat filem klasik Melayu dalam suasana yang begitu eksklusif.

Gabungan Sinema dan Simfoni Di bawah pimpinan konduktor tersohor, Ahmad Muriz Che Rose, Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) berjaya menyelaraskan setiap nota muzik dengan dialog dan aksi komedi spontan dalam filem tersebut.

Penonton terpukau dengan susunan simfoni bagi lagu-lagu malar segar seperti Madu Tiga, Selamat Pengantin Baru nyanyian asal Saloma, Pukul Tiga Pagi, serta alunan Gambus Jodoh.

Suasana di dalam dewan bertukar menjadi sangat emosional dan penuh bertenaga apabila setiap lagu dimainkan dengan penuh ketelitian, memberikan nafas baru kepada karya yang sudah berusia puluhan tahun itu.

Malam yang penuh sejarah itu turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang meluangkan masa untuk menyaksikan naskhah satira ikonik ini bersama-sama ratusan penonton lain.

Kehadiran beliau menambah seri kepada malam yang mengangkat martabat seni budaya tanah air ke peringkat yang lebih tinggi.

Ahmad Muriz Che Rose dalam ucapannya sempat menzahirkan rasa bangganya terhadap penganjuran konsert ini.

“Malam ini bukan hanya filem P. Ramlee pertama kali dimainkan di DFP, tetapi malam ini juga merupakan pertama kali Perdana Menteri Malaysia turut hadir ke DFP,” ulas beliau yang menyifatkan malam tersebut sebagai satu pencapaian besar buat seluruh warga kerja MPO dan DFP.

‘Standing Ovation’ Sebagai Penghormatan Sebagai penutup tirai, sebaik sahaja kredit filem mula ditayangkan, seluruh penonton di dalam dewan bangkit memberikan standing ovation (tepukan berdiri) yang gemuruh.

Ia adalah satu tanda penghormatan bukan sahaja kepada kehebatan pemuzik MPO, tetapi juga sebagai penghargaan kepada legasi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang tetap relevan melintasi zaman.

Foto Oleh: PMO.

Komen
Loading...