Kasih Tersayang: Langkah Berani Shatirah Amanda Sebagai Pencipta Lagu
- oleh Mohd Indera
- 1 hari lalu

Shatirah Amanda melakar sejarah peribadi dalam kerjaya seninya apabila tampil sebagai pencipta lagu dan penulis lirik menerusi single terbaharu bertajuk Kasih Tersayang, yang mula diperdengarkan di semua platform penstriman digital bermula 5 Mei lalu.
Langkah berani itu menandakan fasa baharu dalam perkembangan seni Amanda yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pelakon drama dan finalis Dewi Remaja 2020.
Menerusi Kasih Tersayang, penyanyi berusia 25 tahun itu bukan sahaja mempersembahkan vokal yang matang tetapi juga memperlihatkan kebolehannya dalam menggubah melodi dan menulis lirik.
“Ini adalah karya pertama yang saya cipta sendiri sepenuhnya. Ia sangat dekat dengan hati saya dan saya berharap pendengar dapat merasai keikhlasan dalam lagu ini,” katanya.
Lagu berkonsepkan pop ini membawa mesej tentang kasih sayang dalam pelbagai bentuk merangkumi cinta kepada keluarga, sahabat dan haiwan peliharaan. Amanda turut menyatakan bahawa karya ini merupakan usahanya untuk menzahirkan definisi cinta yang lebih luas dan inklusif.
Menurut Amanda, mencipta lagu sendiri bukan sesuatu yang mudah namun ia adalah cabaran yang dinantikan sejak sekian lama.
“Sebagai seorang artis, saya mahu lebih bebas mengekspresikan diri. Mencipta lagu memberi ruang untuk saya berkongsi pengalaman dan pandangan hidup dengan lebih jujur,” jelasnya.
Beliau kini bernaung di bawah label SA International dan yakin langkah ini akan membuka lebih banyak ruang untuk berkembang sebagai penyanyi dan pencipta lagu.
“Saya bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh pihak label dan pasukan saya. Dengan dorongan mereka, saya lebih bersemangat untuk terus menghasilkan karya berkualiti,” katanya.
Meskipun namanya turut dikenali dalam bidang lakonan menerusi drama seperti Bunga Salju dan Bila Takdir Melarang Cinta, Amanda menjelaskan bahawa fokus utamanya kini adalah terhadap muzik.
“Saya tidak menolak dunia lakonan sepenuhnya tetapi tumpuan saya kini adalah membina nama sebagai penyanyi dan pencipta lagu. Jika ada watak yang sesuai dan tidak mengganggu jadual muzik, saya terbuka untuk pertimbangkan,” tambahnya.
Amanda turut menyasarkan untuk memperluaskan pengaruh muziknya ke peringkat antarabangsa dan berharap Kasih Tersayang akan menjadi permulaan kepada lebih banyak karya ciptaan sendiri pada masa akan datang.
“Ini baru permulaan. Saya harap karya-karya saya selepas ini akan terus diterima dan membawa saya ke pentas yang lebih besar,” katanya.