Kasih Ibu Tak Ternilai: Fizie Roslan Dedah Penghargaan Menerusi Puisi Menyentuh Hati
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu

Fizie Roslan (kanan) bersama Ibu Mentuanya, Hasmah Mohamad (kiri)
Penyampai radio tempatan, Fizie Roslan menyentuh hati pendengar dan warganet apabila berkongsi sebuah deklamasi puisi penuh emosi berjudul Pelita Hatiku, sebagai tanda penghargaan sempena sambutan Hari Ibu.
Menerusi satu hantaran video di laman sosial rasmi Gegar FM baru-baru ini, Fizie menyampaikan puisi tersebut dalam suasana tenang dan penuh penghayatan, yang disifatkan ramai netizen sebagai menyentuh perasaan dan mengundang air mata.
Ibu Fizie, Sarimah Bahazin (kanan) dan Bapa Fizie, Roslan Othman (kiri)
Puisi berkenaan merupakan luahan hati kepada ibunya, Sarimah Bahazin, 62, seorang suri rumah yang menurut Fizie, banyak berkorban demi kebahagiaan keluarga serta tidak pernah lelah menumpahkan kasih sayang kepada dirinya dan dua orang adiknya.
“Bila diberikan tugasan untuk membuat ‘content’ itu, saya memilih untuk membaca puisi sebagai luahan penghargaan buat ibu saya.
“Tidak ternilai pengorbanan seorang ibu dan tidak ada penghargaan yang mampu membalas jasa yang diberikannya kepada kita sebagai anak.
“Saya sendiri akan sentiasa mencari masa untuk hubungi ibu saya di kampung setiap kali ada peluang meskipun sibuk bekerja,” katanya.
Tambahnya, meskipun sibuk dengan tugasan harian di stesen radio, beliau tetap berusaha mencari masa untuk menghubungi ibunya di kampung sebagai tanda ingatan dan kasih sayang.
Isteri Fatin Syarmimi Izzati Mohd Idris (Kiri), Ibu Mentua, Hasmah Mohamad (tengah) dan Fizie Roslan (kanan)
Selain menghargai ibu kandung, Fizie turut menzahirkan penghormatan kepada ibu mentuanya, Hasmah Mohamad, yang menurutnya banyak menyokong perjalanan kerjayanya dalam industri penyiaran dan keusahawanan.
“Saya bersyukur kerana masih memiliki dua insan yang digelar ibu dalam hidup ini. Alhamdulillah, ibu mentua saya juga merupakan antara tulang belakang kejayaan saya,” katanya.
Fizie turut berkongsi perkembangan baharu berkaitan ibu mentuanya yang bersetuju untuk melebarkan sayap perniagaan produk Maamy Mineral Essence ke Lembah Klang, termasuk membuka pejabat di Shah Alam.
“Ia satu pencapaian yang menggembirakan, lebih-lebih lagi kerana berlaku bertepatan dengan sambutan Hari Ibu. Saya hanya ingin membalas jasa dan memperkukuh jenama yang diasaskan beliau,” katanya lagi.
Fizie berpesan kepada semua agar menghargai ibu selagi mereka masih bernyawa, dan tidak menunggu saat kehilangan untuk menunjukkan rasa sayang.
“Selagi Allah beri peluang, hargailah ibu. Rakamlah momen bersama mereka agar menjadi kenangan sepanjang hayat,” ujarnya.
Sambutan Hari Ibu yang diraikan pada Ahad minggu kedua Mei setiap tahun menjadi detik penting bagi masyarakat menghargai pengorbanan dan kasih ibu dalam membentuk keluarga dan masyarakat yang harmoni.