Ikuti Kami:

KARYAWAN Sambut Saranan M. Nasir, Mahu Rundingan Damai Selesai Isu Royalti

KARYAWAN Sambut Saranan M. Nasir, Mahu Rundingan Damai Selesai Isu Royalti

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyambut baik saranan Dato’ Haji M. Nasir, Pengerusi Music Authors’ Copyright Protection (MACP), agar semua pihak dalam industri muzik memilih jalan rundingan secara damai bagi menyelesaikan kemelut isu royalti yang melibatkan beberapa entiti utama industri.

KARYAWAN menyifatkan seruan itu sebagai langkah bijak dan amat diperlukan dalam memastikan masa depan industri muzik tempatan tidak terus terjejas akibat konflik berpanjangan antara pihak-pihak berkepentingan, termasuk 3P Muzik Malaysia serta tiga badan kutipan royalti (CMO) — MACP, PPM dan RPM.

“Kami bersetuju bahawa rundingan adalah penyelesaian terbaik. Tindakan undang-undang hanya wajar dijadikan pilihan terakhir kerana ia boleh menjejaskan kelangsungan hidup para penggiat seni,” kata Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menekankan keperluan satu sesi perbincangan menyeluruh yang melibatkan semua pemain industri, termasuk persatuan seni, badan kutipan royalti, pihak berautoriti dan pemegang taruh utama demi mencari jalan tengah yang adil dan realistik.

“Yang paling penting, semua pihak perlu berdiri di atas asas yang betul mengikut fungsi masing-masing. Hanya dengan cara ini industri muzik dapat berkembang secara harmoni tanpa ketidakseimbangan yang merugikan mana-mana pihak,” tegas beliau.

KARYAWAN turut menzahirkan komitmen untuk menjadi sebahagian daripada proses penyelesaian, sambil berharap agar semua pihak terbuka untuk berdialog secara demokratik, dengan semangat toleransi dan kerjasama demi kepentingan industri secara menyeluruh.

“Kami mahu penyelesaian yang menyeluruh, tidak berat sebelah dan membawa manfaat sebenar kepada keseluruhan ekosistem muzik tanah air. Biar semua pihak menang, demi masa depan muzik Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan ini hadir susulan kenyataan terbuka Dato’ M. Nasir yang menggesa semua pihak meletakkan kepentingan industri muzik melebihi perbezaan pendapat, dan memilih jalan damai berbanding pertelagahan.

Isu berkenaan kutipan dan agihan royalti telah lama membelenggu industri muzik tempatan, mencetuskan pelbagai konflik antara badan kutipan dan penggiat seni. Seruan ke arah rundingan ini diharap menjadi titik mula kepada penyelesaian menyeluruh dan berkekalan.

Komen
Loading...