KARYAWAN Sambut Baik Cadangan Wujudkan Hari Muzik Negara
- oleh MDaily Editor
- 29 Oct 2025 10:52 pm
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menyambut baik dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, untuk mewujudkan Hari Muzik Negara sebagai usaha mengiktiraf sumbangan penggiat muzik tanah air.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez, berkata inisiatif itu merupakan langkah penting yang telah lama dinantikan oleh para pemuzik, komposer, penyanyi, tenaga teknikal dan seluruh warga industri muzik tempatan.
“Ini bukan sekadar sambutan simbolik, tetapi satu titik mula, satu kick-off penting untuk terus memartabatkan industri muzik negara. Kita tidak perlu menunggu suasana industri benar-benar sempurna untuk melaksanakannya, kerana Hari Muzik Negara sendiri boleh menjadi pemangkin untuk mendidik rakyat tentang nilai muzik dan merakyatkan muzik kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, pelaksanaan hari pengiktirafan khusus untuk muzik akan membantu masyarakat menghargai sumbangan para pemuzik serta mewujudkan suasana yang lebih positif dan bersemangat dalam ekosistem muzik tanah air.
“Hari Muzik Negara ibarat hari raya buat seluruh penggiat muzik, dari artis sehinggalah pelajar, tenaga pengajar, serta institusi pengajian tinggi yang menawarkan jurusan muzik. Ia satu bentuk penghargaan dan motivasi kepada semua yang menjadikan muzik sebagai kerjaya dan perjuangan hidup,” katanya.
Freddie menambah bahawa dengan adanya Hari Muzik Negara, Malaysia akan memiliki satu platform rasmi untuk menghimpunkan suara industri, meningkatkan kesedaran terhadap hak dan royalti, serta memperkukuh peranan muzik sebagai komponen penting dalam ekonomi kreatif negara.
Beliau turut menarik perhatian kepada kejayaan Hari Sukan Negara yang telah menyatukan rakyat melalui aktiviti kesukanan, dan percaya Hari Muzik Negara mampu memainkan peranan serupa dalam memupuk semangat kebersamaan melalui seni dan budaya.
“Sudah terlalu lama kami menantikan inisiatif seperti ini. KARYAWAN menyokong penuh dan bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk memastikan Hari Muzik Negara ini menjadi kenyataan,” ujar Freddie mengakhiri kenyataan itu.




