KARYAWAN Laksana EGM Pinda Tiga Perkara Utama, Tawar Keahlian Percuma Setahun
- oleh MDaily Editor
- 7 May 2026 7:19 pm
Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) bergambar bersama ahli-ahli yang hadir di Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) hari ini mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi meluluskan pindaan perlembagaan membabitkan tiga perkara utama demi memperkukuh kedudukan persatuan dalam mendepani cabaran industri seni moden.
Tiga pindaan tersebut merangkumi pemberian keahlian percuma selama setahun kepada ahli baharu, penambahan nama persatuan dalam bahasa Inggeris sebagai Malaysian Artistes’ Association, serta pembukaan semula Biro Pelakon secara rasmi.
Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez berkata, langkah menawarkan keahlian percuma adalah untuk membuang persepsi negatif segelintir penggiat seni yang menganggap yuran keahlian sebagai satu bebanan tanpa melihat manfaat yang ditawarkan.
“Ramai yang bertanya apa yang mereka dapat jika menyertai persatuan. Jadi, kita tawarkan setahun tanpa bebanan yuran. Kami akan buktikan dalam tempoh itu apa yang persatuan mampu lakukan. Jika berpuas hati, mereka boleh teruskan; jika tidak, mereka boleh berhenti,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Finas, hari ini.

Presiden KARYAWAN, Dato’ Freddie Fernandez.
Menyentuh mengenai penubuhan Biro Pelakon, Freddie menjelaskan bahawa inisiatif itu digerakkan selepas menerima maklum balas daripada pelakon veteran dan baharu yang merasa terpinggir dan memerlukan panduan profesional, terutama membabitkan kontrak dan etika kerja.
Persatuan akan melantik pelakon berkaliber sebagai ahli jawatankuasa kecil untuk menerajui biro tersebut.
“Ramai pelakon, terutama yang baharu, tidak tahu mengenai selok-belok kontrak atau cara menyediakan diri untuk penggambaran. KARYAWAN akan mengeluarkan buku panduan khusus sebagai rujukan mereka. Kita mahu ahli kita lebih mahir supaya mereka mempunyai nilai pasaran yang tinggi untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” tambahnya.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) yang hadir di Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Mengenai penambahan nama dalam bahasa Inggeris, Freddie menegaskan ia bertujuan memudahkan urusan diperingkat antarabangsa, memandangkan industri kini beralih ke arah kandungan digital seperti drama mikro (micro-drama) yang mendapat permintaan tinggi dari syarikat luar negara, termasuk Singapura dan China.
“Nama ‘KARYAWAN’ sukar difahami oleh rakan kongsi antarabangsa. Dengan jenama Malaysian Artistes’ Association, identiti kita sebagai wakil artis Malaysia lebih jelas untuk kolaborasi global, termasuk program latihan dan peluang pasaran baharu,” jelas beliau.
Mengulas mengenai kemungkinan timbul isu pertindihan fungsi dengan persatuan pelakon sedia ada, Freddie menyifatkan ia sebagai satu “persaingan sihat”.
“Kami tidak mahu berbalas kenyataan, tetapi apabila penggiat seni sendiri datang meminta bantuan kerana mendakwa isu mereka tidak selesai, kami bertanggungjawab untuk bertindak. Fokus kami adalah penyatuan di bawah satu bendera demi kelangsungan hidup anak seni,” katanya.
Setakat ini, seramai 60 pelakon telah menyatakan minat menyertai biro tersebut dan pendaftaran dijangka meningkat sebaik sahaja pindaan ini mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).
