Ikuti Kami:

KARYAWAN Kecam Penyalahgunaan Nama ‘XPDC’, Waris Arwah Mael Kecewa Nama Dijaja

KARYAWAN Kecam Penyalahgunaan Nama ‘XPDC’, Waris Arwah Mael Kecewa Nama Dijaja

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) mengecam keras tindakan pihak tertentu yang menggunakan nama dan jenama “XPDC” tanpa kebenaran sah sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu bentuk pencabulan terhadap hak cap dagangan dan warisan muzik tempatan.

Presiden KARYAWAN Datuk Freddie Fernandez berkata ada kumpulan didapati telah menggunakan nama berkenaan dalam pelbagai aktiviti komersial dan persembahan terbuka tanpa mendapat kebenaran daripada pemilik cap dagangan sah Life Records.

“Tindakan ini bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan peminat dan penganjur. Jenama XPDC adalah hak eksklusif Life Records dan penggunaannya perlu mendapat kebenaran bertulis” katanya dalam satu sidang media khas di sini hari ini.

Datuk Freddie menjelaskan walaupun mana-mana penyanyi boleh menyampaikan lagu-lagu XPDC selagi tidak ditentang oleh komposer asal, tetapi penggunaan nama XPDC sebagai jenama persembahan boleh dianggap sebagai penyalahgunaan komersial dan boleh diambil tindakan undang-undang.

KARYAWAN turut mendedahkan bahawa hanya lapan individu diberi hak sah oleh Life Records untuk menggunakan nama XPDC termasuk Allahyarham Syed Ismail Syed Ibrahim (Mael) serta anggota asal kumpulan tersebut seperti Izo, Zuar, Lee Space, Amy, Ali, Lola dan Yan.

Pengurus XPDC (Kita Pengyu), Yazid berkata penyalahgunaan nama itu turut mencetuskan kekeliruan dalam industri apabila kumpulan tidak sah menggunakan nama hampir sama dan membuat persembahan di lokasi serta masa berdekatan.

“Kadang-kadang kita main hari ini, esok mereka main tempat sama. Nama hampir sama tetap letak ‘XPDC’. Ini bukan sahaja mengelirukan malah tak sihat untuk industri. Mereka sepatutnya bina nama sendiri tanpa menumpang jenama kami” katanya.

Dalam pada itu adik kepada Allahyarham Mael, Syed Ali Syed Ibrahim menyatakan rasa kecewa dan marah terhadap tindakan kumpulan terbabit yang menurutnya bukan sahaja menggunakan nama XPDC secara salah tetapi turut menjaja nama arwah abangnya untuk menarik perhatian dan mendakwa kononnya mendapat restu.

“Arwah tidak pernah merestui individu yang mendakwa mendapat restu itu, malah individu itu adalah antara yang arwah tidak senangi di akhir hayatnya. Mereka tidak pernah berbincang dengan keluarga kami malah tiada sebarang hubungan.

“Mereka menggunakan nama arwah untuk keuntungan dan populariti. Ini satu tindakan yang sangat tidak beradab dan biadab. Kalau benar hormatkan arwah jagalah legasinya dengan cara yang betul” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa tindakan tersebut sangat menyedihkan dan melukakan perasaan keluarga yang masih berkabung atas kehilangan insan tersayang.

Dalam sidang media sama, KARYAWAN memaklumkan bahawa pihaknya akan merujuk isu ini kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKK) bagi menyemak pendaftaran nama satu kumpulan dengan perkataan “XPDC” termasuk potensi pertindihan cap dagangan.

Persatuan itu menegaskan sekiranya terdapat pelanggaran hak intelek yang jelas pihaknya akan menyokong tindakan undang-undang bagi melindungi jenama dan legasi kumpulan rock tanah air yang telah membina nama sejak awal 1990an.

Terdahulu, Life Records hanya memberi kebenaran kepada dua kumpulan iaitu XPDC Militia dan XPDC Kita Peng Yu.

XPDC Militia dianggotai Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bass), Lola (drum) dan Ali (vokal). Ali bagaimanapun berdepan masalah kesihatan dan tempatnya digantikan oleh Mamu Fazli.

Sementara XPDC Kita Peng Yu dianggotai Zuar (bass), Amy (drum), Jeff (gitar) dan Ary (vokal) yang menggantikan Allahyarham Mael yang meninggal dunia.

Komen
Loading...