Ikuti Kami:

Karnival Zakat Selangor 2025 Tawar Peluang Kerjaya, Aktiviti Keluarga & Persembahan Hijjaz

Karnival Zakat Selangor 2025 Tawar Peluang Kerjaya, Aktiviti Keluarga & Persembahan Hijjaz

Lembaga Zakat Selangor (LZS) kembali menganjurkan Karnival Zakat Selangor 2025 selama tiga hari bermula 27 hingga 29 November ini di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, Shah Alam, dengan pelbagai pengisian merangkumi peluang kerjaya, pameran interaktif serta aktiviti kekeluargaan.

Karnival yang berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam itu menampilkan lebih 150 pempamer termasuk agensi kerajaan, syarikat swasta, industri serta usahawan tempatan, bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai program, perkhidmatan dan inisiatif yang ditawarkan.

Menurut LZS, penganjuran tahunan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan zakat selain mengukuhkan hubungan bersama komuniti dalam suasana santai dan inklusif.

Tumpuan utama tahun ini adalah penganjuran Karnival i-Kerjaya yang menawarkan lebih 1,500 peluang pekerjaan membabitkan 20 majikan dalam sektor perkhidmatan, pembuatan, perdagangan, automotif serta makanan dan minuman.

Keutamaan diberikan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf berdaftar bagi membantu mereka memperoleh pekerjaan yang lebih stabil dan bersesuaian.

Selain itu, karnival berkenaan turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk seisi keluarga, termasuk sukaneka rakyat, Zakat Run, zon E-Sports dan VR Spot yang menawarkan pengalaman digital interaktif.

Pengunjung juga boleh menikmati Jualan Rahmah dan Food Festival yang menghimpunkan pelbagai hidangan daripada trak makanan serta berpeluang memenangi hadiah melalui cabutan bertuah harian.

Bagi menambah kemeriahan, persembahan istimewa daripada kumpulan nasyid terkenal Hijjaz akan berlangsung pada 29 November (Sabtu), menampilkan alunan nasyid yang penuh mesej dan nilai kerohanian.

Forum Perdana turut dijadualkan sebagai platform perkongsian berkaitan kehidupan dan kekeluargaan, manakala kemunculan maskot kanak-kanak Omar & Hana, Recycle Corner serta pertandingan mewarna dijangka menarik minat pengunjung cilik dan keluarga.

LZS turut menyediakan kaunter bancian asnaf, semakan bantuan serta perkhidmatan taksir dan bayaran zakat bagi memudahkan urusan pengunjung sepanjang karnival.

Masuk adalah percuma dan orang ramai di seluruh Selangor serta kawasan sekitar dijemput hadir. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi LZS di Facebook, Instagram dan TikTok.

Komen
Loading...