Karnival Warisan @ Saloma: Peluang Keemasan Berniaga di Lokasi Premium Kuala Lumpur
- oleh Mohd Indera
- 3 bulan lalu

Para usahawan serta peniaga kecil dan sederhana (PKS) berpeluang memanfaatkan lokasi strategik di ibu kota menerusi Karnival Warisan @ Saloma, bazar eksklusif Ramadan yang akan berlangsung dari 3 Mac hingga 28 Mac 2025 di Lanai @ MATIC, Kuala Lumpur.
Terletak di kawasan Segitiga Emas, karnival ini menawarkan lebih 150 reruai jualan yang bakal menarik perhatian pembeli tempatan serta pelancong asing.
Dengan suasana yang menggabungkan elemen warisan dan moden, bazar ini menjadi platform terbaik untuk peniaga memperkenalkan produk mereka kepada pasaran yang lebih luas.
Menurut Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Hj Che Umar, pemilihan Lanai @ MATIC sebagai lokasi penganjuran memberi kelebihan kepada peniaga kerana ia merupakan kawasan tumpuan pelancong dan golongan profesional.
“Sebagai salah satu bazar utama di Kuala Lumpur, Karnival Warisan @ Saloma menawarkan peluang keemasan untuk peniaga menikmati visibiliti tinggi dan akses kepada ribuan pelanggan setiap hari,” katanya.
Karnival ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang bertujuan memperluaskan pasaran usahawan tempatan dan memperkenalkan produk tempatan kepada pelancong antarabangsa.
Majlis perasmian akan disempurnakan oleh YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, pada 16 Mac 2025.
Bazar ini menyediakan ruang kepada peniaga untuk menjual pelbagai produk seperti fesyen, aksesori, makanan tradisional, kelengkapan rumah, serta barangan keperluan Ramadan dan Aidilfitri.
Dengan harga tapak bermula serendah RM5,000, para peniaga dapat menikmati peluang perniagaan yang menguntungkan dalam suasana perniagaan yang selesa dan eksklusif.
Selain jualan bazar, Karnival Warisan @ Saloma juga dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal tanah air seperti Fasha Sandha, Rozita Che Wan, Betty Banafee, Ashraf Muslim, Sharifah Shahirah, Fiz Fairuz, Nad Zainal, Aprena Manrose, dan ramai lagi yang akan menyertai sesi khas Meet & Greet serta penjualan produk mereka.
Bagi menarik lebih ramai pengunjung, pelbagai aktiviti promosi dan cabutan bertuah turut diadakan, termasuk hadiah utama berupa motosikal elektrik (EV) setiap minggu.
Tambahan pula, beberapa agensi kerajaan seperti KEMAS dan PDRM akan menyediakan perkhidmatan khas seperti kaunter diskaun saman trafik dan bayaran zakat untuk kemudahan orang ramai.
Dengan operasi yang fleksibel, bazar ini akan beroperasi 24 jam pada minggu terakhir Ramadan, membolehkan pelanggan membeli-belah pada bila-bila masa tanpa perlu menghadapi kesesakan.
Liputan media secara meluas dan kolaborasi dengan pempengaruh media sosial turut menjadikan karnival ini sebagai platform terbaik untuk peniaga memperkenalkan jenama mereka kepada khalayak yang lebih besar.
Sebarang pertanyaan mengenai penyertaan boleh menghubungi En. Saiful Nizam Ismail di +60 12-662 4079.