Ikuti Kami:

Karnival Sukan Permotoran Sepang 2025 Tonjol Pendidikan dan Keselamatan Permotoran

Karnival Sukan Permotoran Sepang 2025 Tonjol Pendidikan dan Keselamatan Permotoran

Karnival Sukan Permotoran Sepang 2025 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini bukan sekadar mempamerkan aksi adrenalin tinggi, sebaliknya menekankan aspek pendidikan dan keselamatan dalam kalangan peminat sukan permotoran tanah air.

Acara sulung anjuran Kelab Sukan Bermotor Battle of Speed Sepang (BOSS) dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) serta SIC itu dijangka menarik ribuan pengunjung sepanjang dua hari penganjuran bermula hari ini hingga esok, dengan pelbagai aktiviti seperti Track Day, Drift Show, Car Club Parade, Car Autoshow dan ruang kekeluargaan di Kids Area.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Tuan Adam Adli Abdul Halim, yang turut menarik perhatian apabila memandu uji kereta berprestasi tinggi Toyota GR Yaris di litar.

Menurut beliau, karnival ini dianjurkan bagi merakyatkan sukan permotoran dan menjadikannya lebih mudah diakses semua lapisan masyarakat.

“Kita mahu peminat bukan hanya melihat kepada keseronokan semata-mata, tetapi juga menitikberatkan soal keselamatan dan kesedaran. Acara ini memberi pendedahan penting kepada anak muda serta keluarga untuk memahami bagaimana sukan ini boleh diceburi secara bertanggungjawab,” katanya pada sidang media selepas perasmian.

Adam Adli berkata, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan memperuntukkan RM3 juta tahun ini bagi pembangunan sukan permotoran, khususnya program pembangunan akar umbi.

“Fokus kita adalah menyediakan lebih banyak kerjasama dengan penganjur luar agar Sepang kekal sebagai destinasi utama aktiviti permotoran. Kita mahu semarakkan minat, tetapi pada masa sama memastikan aspek keselamatan sentiasa diutamakan,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur dari BOSS, Najiy Ayyad Abd Razak, berkata karnival ini memberi peluang kepada orang ramai mempelajari asas pemanduan berprestasi di litar.

“Kami sediakan latihan pemanduan, sesi taxi ride bersama pelumba profesional dan perkongsian teknik asas. Dari sini mereka boleh melangkah ke peringkat akar umbi atau grassroot racing secara lebih teratur dan selamat,” katanya.

Karnival sulung yang berlangsung hingga esok diyakini mampu menjadi platform terbaik melahirkan generasi baharu pelumba yang berdisiplin, berkemahiran serta berdaya saing.

Komen
Loading...