Ikuti Kami:

Karnival Jom Heboh 2025 Kembali Gegarkan KL Base Bermula 30 Mei Ini

Karnival Jom Heboh 2025 Kembali Gegarkan KL Base Bermula 30 Mei Ini

Acara padang paling ikonik dan dinanti-nantikan, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali membuka tirainya bagi edisi 2025, kali ini dengan lokasi baharu di KL Base, Kuala Lumpur, bermula 30 Mei hingga 1 Jun ini, bertepatan dengan musim cuti sekolah.

Bakal berlangsung selama tiga hari, karnival anjuran Media Prima ini menjanjikan pelbagai pengisian interaktif dan hiburan untuk seisi keluarga, daripada aktiviti kanak-kanak hingga konsert malam yang menggegarkan pentas.

Tahun ini, KJH tampil dengan tema istimewa Ejen Ali, bersempena tayangan filem Ejen Ali The Movie 2. Antara tarikan utama ialah kehadiran maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia, sesi zumba bersama maskot, pertandingan mewarna, dan Ejen Ali M.A.T.A Academy yang menyediakan permainan papan untuk kanak-kanak.

Pertandingan cosplay turut dianjurkan untuk menguji kreativiti peserta dengan hadiah menarik menanti.

Satu gimik pembukaan turut berlangsung hari ini di Balai Berita menerusi acara Flag-Off Supercar, yang menampilkan deretan kereta mewah berprestasi tinggi. Kesemua kenderaan ini akan dipamerkan sepanjang karnival berlangsung.

Pengunjung juga berpeluang bertemu barisan pelakon dan personaliti popular daripada drama seperti Bukan Ipar Sempurna, Nikmat Hanya Sesaat, Polis Peronda dan Aku Bukan Ustazah 2. Antara yang akan hadir termasuk Fahrin Ahmad, Fedtri Yahya, Shaza Bae, dan Naz Rahman.

Acara kemuncak selama dua malam bakal menyaksikan konsert besar-besaran yang dikendalikan oleh hos HotFM dan Kool 101. Malam pertama (31 Mei) menampilkan Shiha Zikir, Khai Bahar, dan Aisha Retno, manakala malam kedua (1 Jun) menyaksikan kemunculan istimewa Ella, ratu rock tanah air, bersama Ayu Damit, Ara Johari dan ramai lagi.

Lebih 150 jenama akan menghiasi reruai-reruai interaktif seperti Studio Tonton Drama Sangat, Studio Jom Heboh, NSTP, dan Love Food Fest.

Orang ramai dijemput memeriahkan karnival dan berkongsi pengalaman mereka di media sosial dengan tanda pagar rasmi #KarnivalJomHeboh dan #KJH. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi di www.jomheboh.com.my atau ikuti media sosial rasmi @jomhebohofficial.

Komen
Loading...