Ikuti Kami:

Karen Gomyo x MPO Hidupkan Keagungan Romeo & Juliet di DFP

Karen Gomyo x MPO Hidupkan Keagungan Romeo & Juliet di DFP

Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), KLCC bakal menyaksikan gandingan istimewa antara pemain biola antarabangsa Karen Gomyo dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) dalam konsert bertemakan karya agung Romeo & Juliet pada 25 Oktober 2025, jam 8 malam.

Di bawah pimpinan konduktor Olari Elts, MPO akan mempersembahkan sepuluh petikan daripada skor balet ciptaan Sergei Prokofiev yang diiktiraf sebagai karya balet penuh paling berjaya pada abad ke-20.

Muziknya kaya dengan tema yang penuh emosi, melodi yang memikat serta ritma dramatik yang menghidupkan kembali kisah cinta abadi Shakespeare.

Karen Gomyo, yang digelar “a first-rate artist of real musical command, vitality, brilliance and intensity” oleh The Chicago Tribune, akan mempersembahkan Violin Concerto in E minor karya Felix Mendelssohn.

Karya yang dipenuhi nuansa romantik ini pertama kali diperdengarkan pada tahun 1845 dan kini dianggap antara konsert biola paling indah dalam sejarah muzik klasik.

Gomyo, yang pernah membuat persembahan bersama New York Philharmonic, New World Symphony serta orkestra terkemuka di Helsinki, Oslo dan Warsaw, terkenal dengan sentuhan penuh emosi dan kepakarannya dalam muzik kamar.

Beliau juga aktif memperkenalkan karya baharu oleh komposer antarabangsa kontemporari.

Konsert ini turut dibuka dengan Overture A Midsummer Night’s Dream karya Mendelssohn, melengkapkan persembahan penuh magis MPO untuk para pencinta muzik.

Selain konsert, Gomyo dijadualkan mengendalikan kelas biola pada 23 Oktober 2025, jam 6 petang di DFP.

Orang ramai berpeluang menyaksikan kehebatan persembahan ini secara langsung dan merasai keindahan karya klasik yang tiada tandingan.

Untuk maklumat lanjut dan pembelian tiket, hubungi Box Office di talian 03-23317007 atau e-mel [email protected]
.

Komen
Loading...