Ikuti Kami:

Kaoru Miyazaki Bakal Gegarkan Zepp KL dalam ASKA CONCERT TOUR 2025!

Kaoru Miyazaki Bakal Gegarkan Zepp KL dalam ASKA CONCERT TOUR 2025!

Kaoru Miyazaki bakal menghangatkan pentas Zepp Kuala Lumpur pada 23 Februari ini sebagai sebahagian daripada ASKA CONCERT TOUR 2025 – Who is ASKA?.

Penyanyi yang pernah berkolaborasi bersama legenda muzik David Foster ini bukanlah nama asing dalam industri muzik Jepun dan antarabangsa.

Kaoru Miyazaki mula dikenali menerusi nyanyiannya dalam beberapa siri anime terkenal seperti King of Thorn (2009), Mobile Suit Gundam: The Origin III – Dawn of Rebellion (2016) dan Mobile Suit Gundam: The Origin V – Clash at Loum (2017).

Selain itu, beliau juga merupakan seorang penulis lagu yang semakin mendapat tempat dalam industri muzik global.

Memiliki suara merdu dan gaya muzik pelbagai, Kaoru Miyazaki berjaya menarik peminat dari serata dunia.

Sejak kemunculan pertamanya dalam industri muzik pada tahun 2012 dengan single “Kimi to Sora”, beliau terus aktif menghasilkan muzik berkualiti.

Antara albumnya yang mendapat sambutan hangat termasuk 9 STORIES (2012), From Here (2017), The Light (2019) dan album terbaharu Beautiful (2023).

Selain bergerak secara solo, Kaoru Miyazaki juga pernah menjadi vokalis sokongan untuk beberapa artis terkenal.

Pada tahun 2023, beliau membuat penampilan sulung di Amerika Syarikat menerusi Rising Japan Music Festival, di mana beliau berkongsi impiannya untuk menghubungkan peminat dari seluruh dunia melalui muzik.

Dengan kebolehannya menyanyikan pelbagai genre, daripada pop Jepun hingga balada yang penuh emosi, Kaoru sering menyentuh hati pendengar melalui lirik yang menyampaikan tema kehidupan, harapan, dan emosi mendalam.

Penampilan Kaoru Miyazaki di Zepp KL adalah sebahagian daripada ASKA CONCERT TOUR 2025 – Who is ASKA?, yang bakal mempersembahkan karya-karya terbaik ASKA, ikon muzik yang telah berada dalam industri lebih 45 tahun.

Para peminat boleh menikmati lagu-lagu ikonik seperti “Say Yes”, “Morning Moon”, serta karya terbaru ASKA yang pastinya mengasyikkan.

Konsert yang dianjurkan oleh Digital Idea Multimedia ini menawarkan pengalaman muzik yang luar biasa dengan harga tiket serendah RM380 (all seats reserved).

Tiket telah mula dijual sejak 6 Disember 2024 dan boleh didapati di Book My Show melalui pautan berikut: https://my.bookmyshow.com/e/ASKAKL25

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Kaoru Miyazaki dan ASKA beraksi dalam sebuah persembahan yang bakal menggamit kenangan dan emosi!

Komen
Loading...