Kanak-Kanak Hilang Rupanya Diculik: 6 Suspek Termasuk 2 Wanita Ditahan
- oleh Mohd Indera
- 3 minggu lalu
Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, pada hari Selasa lepas akhirnya terungkai setelah ditemui semula, dipercayai diculik oleh sekumpulan individu.
Berikutan kejadian itu, enam individu termasuk dua wanita telah ditahan untuk siasatan lanjut berhubung insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata mangsa berumur 12 tahun yang sebelum ini dilaporkan hilang telah ditemui dalam keadaan selamat sekitar jam 2.30 petang pada hari Sabtu.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan seorang diri sebelum dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah diculik daripada penjagaan sah di sisi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
“Susulan operasi tersebut, enam suspek terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 13 hingga 23 tahun telah diberkas,” katanya.
Hoong Fong memaklumkan bahawa pihak polis berjaya merampas sebuah Perodua Myvi yang dipercayai digunakan dalam penculikan, dan salah seorang suspek mempunyai rekod jenayah lampau. Semua suspek kini direman untuk siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan mengenai seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada hari Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, ibu mangsa telah menyuruh anaknya mengambil makanan yang diletakkan di dalam kereta yang diparkir di bawah rumah flat tersebut, namun mangsa tidak pulang selepas itu.