“KamiSempoi” Single Terbaharu Bulan Asyraff Bersama Label Baharu KSIA
- oleh Mohd Indera
- 2 minggu lalu

Penyanyi dan hos TikTok, Bulan Asyraff bakal tampil dengan single terbaharunya berjudul KamiSempoi, yang turut menjadi karya sulung beliau bersama label muzik baharu di bawah naungan KSIA.
Single berkenaan akan dilancarkan secara rasmi pada 12 Mei 2025 sempena KamiSempoi Golden Award 2024 yang akan berlangsung di Galaxy Banquet Hall, Sentul, Kuala Lumpur.
Pelancaran ini dijangka menarik perhatian ramai apabila KSIA buat pertama kali memperkenalkan jenama muziknya secara terbuka kepada umum.
KamiSempoi merupakan hasil ciptaan Kimchi Kacak, salah seorang ahli pengurusan utama KamiSempoi, manakala penerbitan lagu ini melibatkan kolaborasi bersama Miaw Music.
Lagu tersebut membawa mesej semangat, keyakinan diri dan gaya santai generasi muda, sejajar dengan persona Bulan Asyraff yang mesra dan penuh daya tarikan.
Bulan Asyraff, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai pemuzik jalanan dan hos siaran langsung TikTok, mula mencipta nama menerusi rancangan realiti Gimme The Mic serta menempah kejayaan apabila menduduki tempat kedua dalam pertandingan Dalam The Six.
Menurut Pengasas KSIA, To Chin Swee, atau lebih dikenali sebagai Pakcik Chin Swee, pemilihan Bulan Asyraff sebagai artis pertama label itu adalah langkah strategik untuk mengetengahkan bakat tempatan yang tulen dan berpotensi besar.
“Bulan Asyraff adalah bukti bahawa jika seseorang diberi peluang dan ruang untuk berkembang, mereka mampu menyinar. Kami yakin KamiSempoi akan menjadi permulaan yang kuat bukan sahaja untuk beliau, tetapi juga untuk label KSIA secara keseluruhan,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan label muzik ini adalah sebahagian daripada usaha KSIA untuk mewujudkan ekosistem seni yang lebih menyeluruh dan mampan, dengan tumpuan kepada pembangunan bakat dari Asia Tenggara.
Single KamiSempoi akan tersedia di semua platform digital selepas majlis pelancaran rasmi pada 12 Mei 2025.