“Kami Rancang Nak Jaga Bayi Bersama, Tapi Takdir Allah Lain” – Hana Ismail Kuat Demi Anak, Bersyukur Ditemani Penjaga Pantang
- oleh Mohd Indera
- 1 bulan lalu
Personaliti TV, Hana Ismail, meluahkan rasa syukur kerana mendapat sokongan daripada orang sekeliling dalam menghadapi fasa berpantang, meskipun sedang berdepan saat-saat yang sukar dalam kehidupannya.
Menurut Hana, pada mulanya dia dan suaminya, Da’i Syed, tidak merancang untuk mengambil khidmat penjaga pantang. Pasangan itu telah berbincang dan sepakat untuk menjaga anak mereka bersama-sama.
“Alhamdulillah, saya rasa Allah dah susun perjalanan hidup saya dengan begitu cantik. Sewaktu saya hamil, saya tak begitu serius untuk mencari penjaga pantang sepenuh masa,” kongsi Hana.
“Kami sudah berbincang bahawa kami akan menjaga bayi ini bersama-sama. Saya akan menyusukan anak, manakala suami akan membantu dengan ‘burping’, menjaga waktu malam, dan sebagainya,” tambahnya, mengenang perbincangan mereka.
Namun, Hana kini masih mencari kekuatan untuk meneruskan kehidupan, terutama selepas suaminya dijatuhkan hukuman penjara kerana kesalahan jenayah yang dilakukan lima tahun lalu.
Meskipun berdepan cabaran getir, Hana tetap bersyukur kerana Allah mengurniakan individu-individu yang membantunya melalui fasa berpantang ini dengan baik.