Ikuti Kami:

“Kami Mahu Pengiktirafan, Bukan Konflik” – Man Senoi

“Kami Mahu Pengiktirafan, Bukan Konflik” – Man Senoi

Foto Oleh: Subky Hj Bebit.

“Kami tidak cari gaduh. Kami hanya mahu pengiktirafan yang sepatutnya.” Itu penegasan komposer dan penerbit muzik veteran, Othman Masri atau lebih dikenali sebagai Man Senoi, berhubung isu hak cipta lagu-lagu kumpulan popular era 90-an, 4U2C, yang kini kembali hangat selepas pengumuman konsert WE 4U2C.

Man Senoi menzahirkan rasa kesal apabila lagu-lagu ciptaannya digunakan tanpa sebarang rujukan atau permohonan rasmi kepada dirinya mahupun syarikat rakaman miliknya, Zman Production.

“Kami bukan ahli Public Performance Malaysia (PPM), jadi semua urusan berkaitan rakaman bunyi perlu dibuat secara langsung dengan kami. Tapi hingga hari ini, tiada siapa yang menghubungi kami,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media mengenai kutipan royalti anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) pada Ahad.

Turut hadir ialah isteri beliau yang juga penyanyi dan penerbit, Ramziah Mohamed Noor atau Mama Rap, 62, yang turut berkongsi sentimen sama dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik.

Terdahulu, Man Senoi dan Mama Rap dilapor mendakwa bahawa hak cipta lagu-lagu yang pernah dipopularkan oleh kumpulan 4U2C adalah milik mereka. Namun begitu, mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai penganjuran konsert yang diumumkan baru-baru ini.

“Kami bukan mahu menghalang sesiapa membuat persembahan. Kami faham nilai nostalgia. Tapi hargailah usaha orang yang mencipta dan menerbitkan lagu-lagu itu. Berjumpa, berbincang dan selesaikan dengan berhemah,” katanya.

Man Senoi menegaskan bahawa beliau tidak menuntut bayaran keterlaluan atau mahu menghentikan sebarang acara, sebaliknya hanya mahukan keadilan dan penghormatan kepada hak intelektual yang dimilikinya.

“Kami tidak kejar keuntungan semata-mata. Kami mahu legasi kami diiktiraf. Bila semua berjalan ikut saluran yang betul, tak akan ada masalah,” tambahnya.


Man Senoi turut menandatangani memorandum menyokong Garis Panduan Hak Cipta MYIPO 2025.

Sebagai bekas ahli tribunal hak cipta, beliau menyeru agar lebih banyak kesedaran diberikan kepada penggiat industri hiburan tentang pentingnya memahami perbezaan antara hak cipta muzik (melodi dan lirik) dan hak rakaman bunyi (sound recording), yang sering terabai.

Dalam nada lebih positif, Man Senoi turut berkongsi perancangannya meneruskan perjuangan dalam dunia muzik dengan memperkenalkan lebih 50 lagu baharu melalui bakat-bakat baharu yang kini dalam proses pemilihan.

“Kita bukan duduk diam. Kami sedang bentuk semula katalog lagu baharu dan mencari penyanyi baharu. Kami percaya muzik tempatan ada masa depan yang cerah,” katanya.

Man Senoi mengakhiri pertemuan dengan harapan agar semua pihak yang terlibat dapat mencari titik damai dan menyelesaikan segala isu secara profesional.

“Kami bukan musuh sesiapa. Kami cuma mahu dihormati sebagai pencipta asal. Itu saja.” ujarnya.

Komen
Loading...