“Kalau Sabah Boleh Gegar, KL Pun Boleh!” – Stacy Sasar Pentas Lebih Besar
- oleh Mohd Indera
- 2 minit lalu

Dengan semangat membara dan sambutan luar biasa daripada hampir 3,000 peminat yang membanjiri Sabah International Convention Centre (SICC), Stacy Anam menyuarakan keyakinan untuk membawa konsert solo mega pertamanya ke pentas lebih besar iaitu Kuala Lumpur.
Bagi penyanyi kelahiran Penampang ini, kejayaan Konsert ‘Aku Stacy (Menggegar Kota U)’ bukan sekadar kemuncak karier tetapi titik tolak kepada perancangan lebih besar untuk menjelajah ke Semenanjung.
Stacy atau nama penuhnya Ummu Shaikhah Stacy binti Anam, dalam sidang media selepas konsert memberi bayangan akan membawa konsert tersebut ke Semenanjung selepas sambutan luar biasa yang diterimanya di negeri kelahirannya.
“Kalau Sabah boleh gegarkan SICC, saya yakin Kuala Lumpur pun boleh kita gegarkan sama-sama nanti!” katanya.
Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan Stacy dalam prestasi terbaiknya dengan tenaga, emosi dan kawalan pentas yang memukau.
Persembahan dimulakan dengan lagu ‘Pakai Buang’ yang membuka malam dengan letupan semangat disusuli deretan lagu hit seperti ‘Cakap Ke Tangan’, ‘Not For Sale’, ‘Gilalah’, ‘Bosan’ dan single terkini ‘Menyala’.
Antara sorotan utama ialah aksi dramatik Stacy ‘terbang’ ke tengah dewan semasa lagu ‘Khayal’ mencetuskan sorakan dan jeritan keterujaan yang bergema di seluruh ruang.
Kemunculan suami tercinta Akim Ahmad menambah dimensi istimewa pada malam tersebut menerusi duet lagu ‘Die With A Smile’, ‘Aku, Kau & Muzik’ dan ‘Ritma & Rima’. Akim turut memukau penonton dengan persembahan solo ‘Rampas’ yang menerima tepukan gemuruh.
“Ini adalah pelaburan terbesar Rhythm & Rhyme setakat ini dan Alhamdulillah sambutan yang kami terima sangat luar biasa,” ujar Akim dalam sidang media sama mewakili pihak penganjur.
Konsert turut diserikan dengan penampilan beberapa artis jemputan seperti Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia manakala pelawak Atu Zero menyuntik elemen ceria dengan jenaka spontan yang mencuit hati.
Dengan persiapan rapi selama tiga bulan Stacy turut mencatat satu pencapaian baharu apabila menukar 10 busana dalam satu malam menjadikannya artis Malaysia pertama mencapai rekod tersebut dalam konsert solo berskala besar.
Dalam sidang media yang penuh emosi itu juga Stacy tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mengenang arwah abangnya Chaq yang menjadi antara insan terpenting dalam memulakan langkah seninya.
“Dialah yang membawa saya ke industri ini. Saya dapat rasakan kehadirannya di atas pentas malam ini,” katanya.
Menutup konsert dengan lagu ikonik ‘Aku Stacy’ yang melonjakkan namanya sejak 2008 Stacy memberikan penghormatan kepada para peminat dan pasukan produksinya sebelum meninggalkan pentas dengan harapan dan impian yang lebih besar.