“Kalau Dalam Apartment, Dah Kira Sempit Dan Sesak”, Pastikan SOP, Penjarakan Sosial
- oleh Mohd Qushairi
- 5 tahuns lalu
Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat perlu utamakan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penjarakkan sosial ketika aktiviti ziarah di rumah dalam kalangan ahli keluarga.
“Pastikan penjarakkan, pastikan kita lindungi warga emas. Jadi tak ada salam-salam, cium-cium. Pastikan penjarakkan satu meter.
“Sebelum masuk rumah, amalkan cuci tangan dengan sabun atau guna hand sanitizer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkenaan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad yang membenarkan aktivi ziarah raya maksima 20 orang dalam satu masa.
“20 orang itu adalah ahli keluarga. Kalau 20 orang, contohnya anak, cucu… jumlah ahli keluarga 20 orang. Apa yang pasti, kita kena ikut SOP Kementerian Kesihatan iaitu penjarakkan sosial.
“Kalau dalam apartment, dah kira confined space (ruang sempit), crowded space(ruang yang sesak). Itu dah melanggar SOP Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media, petang Isnin.
“Kita tidak menggalakkan perhimpunan atau pelawat datang ke rumah, tetapi ini adalah ahli keluarga,” katanya.
Beliau turut menasihatkan semua pihak agar mengutamakan keselamatan warga emas kerana mereka merupakan golongan berisiko tinggi, yang mana mencatatkan bilangan kes tertinggi akibat COVID-19.
“Walaupun ahli keluarga, pastikan kita lindungi ibu bapa, datuk dan nenek kita. Jumlah kematian setakat ini bagi 60 tahun ke atas melebihi 50 peratus,” katanya sambil menambah jumlah kematian akibat penyakit kronik melebihi 85 peratus.