“Kalau Bukan Aku” Serlah Sisi Emosi dan Kematangan Khai Bahar
- oleh MDaily Editor
- 9 Nov 2025 11:43 pm
Penyanyi popular tanah air, Khai Bahar, kembali mencuri perhatian peminat dengan pelancaran single terbaharunya berjudul “Kalau Bukan Aku”, sebuah balada moden sarat emosi yang memperlihatkan sisi lebih matang dan mendalam dalam perjalanan seninya.
Lagu ciptaan Farouk Roman, dengan lirik oleh Senna serta susunan muzik oleh Wan Saleh, diterbitkan di bawah naungan Sony Music Entertainment Malaysia dan mula dilancarkan di semua platform digital pada 24 Oktober lalu.
Mengangkat tema cinta yang tidak semestinya berakhir dengan kebahagiaan, “Kalau Bukan Aku” mengetengahkan erti penerimaan dan ketabahan hati selepas kehilangan.
Dengan adunan melodi balada klasik dan sentuhan kontemporari, karya ini menguji keupayaan vokal Khai dalam menyampaikan rasa duka dan reda dengan penuh kejujuran.
“Saya sangat teruja dapat bekerjasama dengan Farouk Roman. Lagu ini memberi pengalaman baharu kerana nuansanya berbeza daripada karya saya sebelum ini,”
“Sebaik mendengar demo, saya terus rasa tertarik dan yakin lagu ini mampu meninggalkan impak mendalam.” katanya.

Menurut Khai, proses rakaman lagu ini bukan sekadar mencabar dari sudut vokal, tetapi juga memerlukan penghayatan emosi yang mendalam.
“Farouk minta saya bawakan lagu ini dengan pendekatan berbeza. Untuk benar-benar faham jiwa lagu ni, saya terpaksa buka semula kisah cinta lama! Tapi saya percaya ramai boleh kaitkan dengan lagu ini, termasuk saya sendiri,” katanya.
Khai turut berterima kasih kepada penerbit vokal, Afif Tirmizie, yang banyak membantunya menjiwai intipati lagu tersebut.
“Saya selesa bekerja dengan Afif sebab dah ada chemistry. Cara nyanyian dalam lagu ni lebih matang, dan liriknya sangat dekat dengan pengalaman ramai orang,” tambahnya.
Sementara itu, komposer Farouk Roman menjelaskan bahawa inspirasi lagu ini datang daripada kisah cinta yang tidak berakhir dengan kebahagiaan.
“Saya bayangkan seseorang yang masih setia walaupun hubungan sudah berakhir, rasa reda tapi masih ada cinta yang tertinggal. Dari situ saya cuba terjemahkan emosi itu dalam melodi yang lembut tapi menyakitkan,”
“Khai berjaya membawa semua emosi yang saya bayangkan sejak mula mencipta lagu ni. Vokalnya tidak berlebihan, tetapi cukup untuk membuat pendengar benar-benar rasa,” katanya.
Dengan susunan muzik yang teliti, vokal penuh perasaan dan mesej yang menyentuh jiwa, “Kalau Bukan Aku” bukan sekadar sebuah lagu cinta, tetapi karya reflektif tentang mencintai, kehilangan dan menerima takdir dengan tenang.
Single “Kalau Bukan Aku” kini boleh didengarkan di semua platform digital di bawah terbitan Sony Music Entertainment Malaysia.




