Ikuti Kami:

“Kaki Kiriku”: Eksperimen Segar Noryn Aziz Satukan Jazz, Joget & Kebaya

“Kaki Kiriku”: Eksperimen Segar Noryn Aziz Satukan Jazz, Joget & Kebaya

Penyanyi bersuara emas, Noryn Aziz, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbaharunya berjudul Kaki Kiriku.

Lagu ciptaan Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng dengan lirik oleh Reza ini diterbitkan oleh Moonshine Productions dan mengetengahkan konsep Jazz Joget Revival, gabungan jazz klasik, irama joget tradisional dan elemen Parisian jazz.

Menurut Noryn yang juga bertindak sebagai  Eksekutif Produser, karya terbarunya itu bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi membawa misi untuk mengangkat keindahan bahasa dan budaya.

“Single ini bukan sekadar lagu, tetapi misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu dan warisan budaya melalui muzik. Saya mahu pendengar rasa bahasa kita hidup, menyeronokkan dan penuh ritma,” katanya.

Lagu ini turut menampilkan kelainan apabila diselitkan dengan tongue twister Melayu terkenal: “Kakakku kata kuku kakiku kaku, Ku kikis-kikis kuku kaki kiriku”.

“Ramai yang cuba menyanyi tersasul, tapi itu sebenarnya keindahan bahasa kita. Ia hiburan, tetapi juga penghargaan kepada budaya. Saya mahu anak-anak kita tahu bahasa Melayu ini kaya, bukan membebankan,” jelas Noryn.

Muzik video Kaki Kiriku diarahkan oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim dan dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Dalam video itu, Noryn tampil anggun dalam kebaya rekaan Collaborate Store, Four Season dan Calvin Thoo.

“Kebaya ini bukan sekadar pakaian, tetapi simbol keanggunan dan kekuatan wanita Melayu. Walaupun saya nyanyi jazz, saya tetap mahu mengekalkan identiti sebagai wanita Melayu yang berakar dengan budaya sendiri,” katanya.

Sementara itu, komposer Reza Salleh mendedahkan idea untuk menghasilkan Kaki Kiriku lahir daripada pengalaman peribadinya bersama komuniti swing dancer di Kuala Lumpur.

“Saya pernah menari hampir lima jam sehingga kaki sakit, dan dari situlah tercetusnya idea Kaki Kiriku. Jazz bagi saya bukan hanya serius, ia boleh jadi menyeronokkan. Dengan lagu ini, saya mahu tunjuk bahawa kita juga boleh bercerita tentang Asia, tentang budaya kita, bukan sekadar kisah New York atau New Orleans,” katanya.

Reza turut berkongsi bahawa lagu ini mendapat pengaruh melodi patriotik era 90-an yang memberi sentuhan nostalgia.

“Saya mahu karya ini terasa dekat dengan jiwa kita. Ada unsur Melayu, ada sentuhan Timur Tengah, semuanya digabungkan dalam suasana jazz yang segar,” jelasnya.

Lagu ini turut disokong oleh barisan pemuzik berbakat seperti KJ (drum), Che Wan (double bass), Hady Afro (gitar) dan Farid Izwan (klarinet).

Rakaman instrumen, adunan serta mastering dilakukan oleh Rozhan Razman di RMP Productions manakala vokal Noryn dirakam oleh Yee Xing di Little Bad Music MY.

Noryn menegaskan bahawa Kaki Kiriku adalah simbol eksperimen seni yang menyatukan tradisi dan moden.

“Kaki Kiriku adalah eksperimen seni. Jazz bertemu joget, bahasa Melayu bertemu permainan lidah, kebaya bertemu visual moden. Semua ini saya lakukan kerana mahu warisan kita terus segar dan relevan,” katanya.

Lagu “Kaki Kiriku” kini boleh distrim di semua platform digital utama.

Komen
Loading...