Kajian Tasawuf Dato’ Dr. Haji Muhamad Fuad Diiktiraf Universiti Mohammed V
- oleh MDaily Editor
- 28 Dec 2025 1:06 am
Ulama terkemuka Malaysia, Dato’ Dr. Haji Muhamad Fuad bin Kamaludin, melakar sejarah di persada akademik antarabangsa apabila meraih pengiktirafan tertinggi bagi tesis Doktor Falsafah (PhD) beliau di Universiti Mohammed V, Rabat, baru-baru ini.
Beliau yang merupakan Pengerusi Kolej Islam As Sofa Malaysia merangkap pemimpin Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, membentangkan tesis bertajuk: “Imam Ahmad bin Idris al‑Maghribi dan Usahanya dalam Ilmu Islam serta Penyebaran Nilai‑Nilai Tasawuf – Satu Kajian Kritikal.”

Kajian tersebut yang menggabungkan ketelitian akademik tradisional dan analisis mendalam terhadap pemikiran tokoh sufi besar Maghribi, telah dianugerahkan martabat penghormatan tertinggi, ‘Musyarraf Jiddan’.
Sesi pembentangan viva voce yang berlangsung hampir tiga jam itu diketuai oleh Dekan Fakulti Sastera dan Sains Kemanusiaan, Dr. Zakarya Bourhim.

Panel penilai memuji dedikasi Dato’ Dr. Haji Muhamad Fuad dalam meneliti manhaj Imam Ahmad bin Idris dengan penuh amanah, sekali gus membuka ruang pengkajian baharu terhadap tokoh yang sangat berpengaruh di Asia tersebut.
Sebagai pengiktirafan terhadap nilai ilmiah tesis berkenaan, pihak universiti turut memberi kebenaran untuk ia diterbitkan sebagai rujukan akademik yang sah.

Selain itu, panel penilai menyarankan agar karya agung ini diterjemahkan ke dalam enam bahasa utama dunia iaitu bahasa Inggeris, Perancis, Itali, Sepanyol, Portugis, dan Jerman bagi membolehkan manfaatnya tersebar ke peringkat global.
Kejayaan Dato’ Dr. Haji Muhamad Fuad ini bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda bahawa jalan ilmu menuntut kesabaran, pengorbanan, dan disiplin rohani yang tinggi.




