Ikuti Kami:

Kahar: Kapla High Council, Dari Siri Popular ke Filem yang Mengangkat Isu Buli dan Kekeluargaan

Kahar: Kapla High Council, Dari Siri Popular ke Filem yang Mengangkat Isu Buli dan Kekeluargaan

Malam Gala Kahar: Kapla High Council telah diadakan untuk meraikan tayangan perdana filem aksi drama yang merupakan prekuel kepada siri popular Projek: High Council, yang mencipta fenomena besar pada tahun lalu.

Filem ini membongkar kisah silam Kahar sebelum bergelar Kapla, ketua badan pelajar, dan memaparkan pergelutan mental serta fizikalnya untuk bertahan dalam dunia penuh tekanan.

Kahar: Kapla High Council mengembalikan watak ikonik Kahar, seorang pelajar Kolej Ungku Deramat (KUDRAT) yang menjadi perhatian ramai dalam siri terdahulu.

Dengan durasi 102 minit, filem ini bukan sekadar menyajikan babak penuh aksi dan ketegangan, tetapi juga membawa mesej yang mendalam. Kahar: Kapla High Council mengetengahkan isu buli yang masih relevan dalam masyarakat, serta menyoroti kepentingan institusi kekeluargaan terhadap pembangunan mental remaja.

Tema utama filem ini, “Stop Violence”, disampaikan melalui penceritaan berani yang diinspirasikan daripada situasi sebenar, memperlihatkan cabaran moral serta tekanan harapan keluarga terhadap anak-anak.

Amir Ahnaf telah membuktikan bahawa dia mampu menjadi watak utama dan memperluas jangkauan lakonannya.

Urutan aksi dalam filem ini sangat kemas, dengan variasi yang cukup dan tidak berlebihan, diiringi audio yang luar biasa. Tapi yang paling penting, visualnya benar-benar sempurna!

Filem ini bukan sekadar prekuel kepada siri Projek High Council, tetapi juga menjadi penutupan yang memuaskan untuk semua ketegangan yang ditinggalkan oleh siri tersebut kepada penonton.

Penerbit Eksekutif Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, menyatakan bahawa jenama High Council tetap kuat selepas kejayaan siri tahun lalu, yang menduduki carta nombor satu di Astro Go, On Demand, dan Netflix.

“Jenama High Council masih kukuh selepas kejayaan siri tahun lalu, yang menjadi drama paling popular di Astro Go dan On Demand, serta menduduki carta nombor satu di Netflix selama enam minggu berturut-turut. Melalui filem ini, kami ingin membuka perbincangan tentang isu buli, keganasan, dan kesan konflik keluarga.” katanya.

Filem ini turut mendapat sokongan daripada organisasi seperti MIASA Malaysia dan MCPF untuk mengukuhkan mesej anti-buli dan anti-keganasan melalui kempen #StopViolence.

Selain tayangan filem, siri jelajah promosi akan diadakan di seluruh negara bermula 29 November, membolehkan peminat bertemu dengan barisan pelakon seperti Amir Ahnaf, Aedy Ashraf, dan Sky Iskandar.

Diterajui oleh Amir Ahnaf sebagai Kahar, filem ini turut menampilkan bintang seperti Aedy Ashraf (Reza/Beja), Sky Iskandar (Megat), Fazziq Muqris, Fadhli Masoot, Thompson Goh, dan Khenobu. Penampilan istimewa daripada Mierul Aiman, Nadhir Nasar, dan Naim Daniel menambahkan lagi tarikan filem ini.

Kempen promosi turut memperlihatkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menayangkan video pesanan khidmat masyarakat di papan iklan digital seluruh Lembah Klang. Video ini akan dipaparkan serentak dari 27 hingga 29 November, menyebarkan mesej “Stop Violence” secara meluas.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton Kahar: Kapla High Council, yang akan ditayangkan di pawagam bermula 28 November 2024.

Komen
Loading...