‘Jutawan’: Mark Adam Sebar Aura Positif Tentang Nilai Adab
- oleh MDaily Editor
- 7 Nov 2025 10:08 pm
Penyanyi dan komposer berdarah Filipino Malaysia, Mark Adam atau nama sebenarnya Fikri Mark Adam, kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Jutawan, terbitan Suria Records (SRC).
Lagu keempatnya bersama label tersebut tampil dengan mesej positif dan ringan didengar, namun sarat dengan pengajaran tentang nilai adab dalam kehidupan.
Lagu yang digarap bersama AdamDian, dengan lirik nukilan Mark Adam, Affa Eusoff dan Efry Arwis, mengetengahkan mesej mendalam mengenai pentingnya adab sebagai asas kesejahteraan masyarakat.
Menurut Mark Adam, inspirasi lagu itu lahir daripada pemerhatiannya terhadap pelbagai isu negatif yang berlaku dalam masyarakat masa kini.
“Saya teringat pesanan ibu bapa saya sejak kecil, adab itu lebih bernilai daripada harta. Saya pernah hidup susah di negara asal, tapi saya percaya orang yang beradab akan dipandang tinggi seperti jutawan. Kaya bukan pada wang ringgit, tapi pada budi dan keperibadian,” katanya.

Tambahnya lagi, Jutawan bukan sekadar hiburan, tetapi juga satu ajakan untuk menyebarkan aura positif dan menanam semula nilai-nilai murni yang semakin dilupakan.
“Saya ingin mengajak semua untuk menjadi ‘jutawan’ yang kaya dengan adab. Jika kita pegang pada nilai itu, dunia akan jadi lebih baik,” ujarnya.
Dengan melodi yang mesra telinga dan lirik mudah diingati, Jutawan diyakini bakal menarik minat pelbagai lapisan pendengar.
Lagu tersebut kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music, Deezer, dan YouTube Music, serta turut diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.




