IPOH: Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual jam dan seorang pelajar kolej wanita, kerana disyaki terbabit dalam kes mempersendakan agama Islam melalui rakaman video yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Polis, A Asmadi Abdul Aziz, berkata pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan suspek lelaki berusia 20 tahun itu di Taman Kledang, Menglembu dekat sini, jam 11.15 malam tadi, sebelum menahan rakan sebayanya, di Taman Silibin Ria.
“Lelaki itu mengaku melakukan watak solat dalam video berkenaan dan rakan wanitanya mengaku merakam perbuatan itu menggunakan telefon miliknya, dengan niat untuk bergurau di sebuah inap desa di Taman Lapangan Terbang, sebelum memuat naik di Instagramnya.
“Rakaman itu dilakukan pada 28 Oktober lalu, kira-kira pukul 1.27 pagi, berdasarkan semakan di telefon bimbit berkenaan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
A Asmadi berkata, siasatan awal mendapati wanita itu memadamkan video yang dimuat naik di laman Instagramnya kerana takut, selepas ia menjadi tular.
Katanya, polis merampas dua unit telefon bimbit dan kedua-dua individu itu direman empat hari sehingga 22 April ini, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948; Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955; Seksyen 298 Kanun Keseksaan; dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Video berdurasi 28 saat itu, menunjukkan seorang lelaki berbaju hitam dan berseluar pendek hitam, sedang melakonkan solat dalam keadaan bergurau, sambil gelak ketawa bersama rakannya.
– BERNAMA