Ikuti Kami:

Jurugambar Ini Kongsi Keadaan Sekitar Kuala Lumpur Ketika PKP

Jurugambar Ini Kongsi Keadaan Sekitar Kuala Lumpur Ketika PKP

Ramai yang ternanti-nanti dengan kehadiran tahun 2020 yang satu ketika dulu dibayangkan dengan tekonologi kereta terbang dan kegigihan untuk mencapai Wawasan 2020.

Namun, malangnya kita semua telah dikejutkan dengan kehadiran pandemik COVID-19 yang telah menjadi krisis kesihatan dan ekonomi di seluruh dunia.

Malaysia telah menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan keseluruhan rakyatnya perlu duduk di rumah bagi mengekang penularan pandemik ini.

Ramai yang telah kehilangan pekerjaan selama perintah ini, sementara itu ada yang telah menceburkan diri dalam pekerjaan lain termasuklah seorang individu bernama Raihan Talib.

Raihan berusia 47 tahun merupakan seorang jurugambar sepenuh masa sebelum COVID-19 melanda Malaysia.

Dia banyak merakamkan acara keramaian seperti perkahwinan, hari keluarga, korporat dan lain-lain. Pastinya banyak perancangan dalam kerjayanya untuk tahun 2020 ini.

Tetapi oleh kerana PKP, projek-projek ini harus ditangguhkan hingga akhir tahun atau mungkin sehingga awal tahun depan.

Bagi menampung keperluan harian, dia memutuskan untuk mula bekerja sebagai rider penghantar barang untuk syarikat Lalamove bermula bulan April lalu.

Ketika menjalankan tugas barunya, Raihan melihat persekitaran Kuala Lumpur sangat sunyi dan kosong. Oleh itu, dia memutuskan untuk merakamkan gambar keadaan yang jarang berlaku ini sebagai kenangan dan simpanan peribadi.

Setiap kali dia bertugas dan melihat peluang untuk merakamkan gambar, dia akan berhenti di tepi jalan dan mengambil gambar dengan hanya menggunakan telefon bimbitnya. Apabila sudah terkumpul, dia memuat naik gambar-gambar tersebut di Facebook miiknya.

Raihan tidak menyangka gambar-gambar yang dimuat naiknya telah menarik perhatian ramai dan telah mendapat 2,600 perkongsian setakat ini. Dia menyatakan apa yang dilakukannya bukanlah untuk keuntungan atau bayaran tetapi sekadar untuk menyimpan kenangan peribadi.

Raihan, yang sebelum ini bekerja di sektor perbankan, mengatakan bahawa lalu lintas semasa PKP sangat kosong dan tidak memberikan sebarang tekanan. Namun selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia dapat melihat orang mulai bekerja dan lalu lintas kembali sibuk sedikit demi sedikit.

Bagi anda yang ingin melihat gambar-gambar lain yang dirakamkannya bolehlah melawat laman Facebook Raihan Talib.

Komen
Loading...