Jurufoto Antarabangsa Diane Villadsen Serlah Kehebatan Kamera Vivo V60
- oleh Mohd Indera
- 17 Aug 2025 2:53 pm

Jurufoto antarabangsa berpangkalan di San Francisco, Diane Villadsen, menyerlahkan keupayaan teknologi pengimejan mudah alih terbaharu menerusi kerjasama dengan vivo Malaysia dalam kempen “Snap Into Your Vibe” yang menampilkan telefon pintar baharu vivo V60.
Vivo dalam kenyataan memaklumkan, kolaborasi itu menggabungkan gaya visual unik Villadsen dengan kecanggihan teknologi kamera vivo V60 yang dilengkapi Kamera ZEISS Super Telephoto 50MP, mod foto 10x serta ZEISS Multifocal Portrait dengan panjang fokus 85mm dan 100mm.
“Gabungan teknologi dan kreativiti ini memberi kebebasan kepada pengguna untuk menghasilkan potret dengan kejelasan, warna serta ekspresi semula jadi, sama ada dalam rakaman jarak dekat atau potret separuh badan,” menurut kenyataan itu.
Villadsen, yang dikenali dengan estetika visual berwarna terang dan penggunaan cahaya semula jadi, akan mempersembahkan siri foto eksklusif yang dirakam sepenuhnya menggunakan vivo V60 pada majlis pelancaran rasmi vivo V60 di Malaysia.
Beliau turut dijadual mengendalikan bengkel fotografi dengan aktiviti interaktif, hentian foto khas serta sesi perkongsian pengalaman bersama pencipta kandungan tempatan.
Menurut vivo, kempen “Snap Into Your Vibe” bukan sahaja menonjolkan spesifikasi teknikal peranti, malah menekankan kepentingan merakam emosi dan suasana sebenar dalam setiap momen.
“Melalui kerjasama ini, vivo berharap pengguna dapat melihat V60 sebagai bukan sahaja sebuah telefon pintar, tetapi juga sebagai alat fotografi yang mampu merakam detik dengan lebih mendalam,” kata kenyataan itu.
Untuk maklumat lanjut mengenai vivo V60 dan kempen “Snap Into Your Vibe”, orang ramai boleh mengikuti laman rasmi media sosial vivo Malaysia di Facebook dan Instagram.