Jung Yong Hwa Umum Konsert ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ di KL
- oleh Mohd Indera
- 10 Jul 2025 5:19 pm

Bintang K-pop terkenal dari Korea Selatan, Jung Yong Hwa, mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi 2025 JUNG YONG HWA LIVE ‘Director’s Cut: Our Fine Days’ yang dijadual berlangsung pada 14 September ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert yang dianjurkan oleh Lo-Fi Entertainment itu merupakan sebahagian daripada siri jelajah sempena ulang tahun ke-10 debut solonya serta pelancaran mini album terbaharanya, One Last Day.
Yong Hwa dijangka membawa penonton menelusuri perjalanan seni muziknya yang penuh warna, dengan persembahan yang dijanjikan penuh emosi dan penceritaan mendalam.
“Konsert ini adalah penghargaan buat peminat yang sentiasa menyokong saya sejak permulaan karier solo. Saya mahu berkongsi bukan hanya lagu-lagu, tetapi juga kenangan dan momen istimewa sepanjang perjalanan ini,” kata Yong Hwa dalam satu kenyataan rasmi.
Beliau mula dikenali sebagai vokalis utama kumpulan rock CNBLUE di bawah naungan FNC Entertainment, sebelum melancarkan kerjaya solonya pada 2015 dengan album One Fine Day.
Sejak itu, Yong Hwa telah menghasilkan pelbagai karya solo seperti DO DISTURB (2017), YOUR CITY (2023) dan yang terkini One Last Day (2025).
Selain daripada muzik, beliau turut aktif dalam lakonan dan pernah membintangi drama seperti Sell Your Haunted House (2021) dan Brain Works (2023), selain filem antarabangsa Cook Up A Storm (2017). Karier serba boleh ini menjadikan beliau salah seorang artis Korea yang paling berpengaruh di rantau Asia.
Tiket konsert akan mula dijual pada 1 Ogos 2025 (Jumaat), jam 12 tengah hari menerusi www.ticketingtix.com. Harga tiket bermula dari RM368 hingga RM888, tertakluk kepada bayaran pemprosesan RM4.
Peminat juga berpeluang menikmati pelbagai faedah eksklusif bergantung kepada kategori tiket, termasuk sesi soundcheck, poster dan polaroid bertandatangan, sesi selamat tinggal serta kad foto istimewa.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, peminat boleh mengikuti Lo-Fi Entertainment di Instagram dan Facebook.