Ikuti Kami:

Jumbo Bawa Pengembaraan Penuh Ajaib ke Layar Perak Serantau

Jumbo Bawa Pengembaraan Penuh Ajaib ke Layar Perak Serantau

Filem animasi Jumbo bersedia membawa penonton di Malaysia menyelami sebuah pengembaraan ajaib yang penuh emosi, nilai persahabatan dan kasih sayang kekeluargaan, apabila ia mula ditayangkan di pawagam pada 26 Jun 2025.

Mengisahkan Don, seorang kanak-kanak yang sering dipinggirkan oleh rakan-rakannya, Jumbo memaparkan usaha seorang anak kecil yang ingin membuktikan dirinya melalui sebuah persembahan drama berdasarkan buku cerita dongeng peninggalan ibu bapanya.

Namun, cabaran bermula apabila buku berharga itu dicuri oleh seorang pembuli. Ketika cuba mendapatkan semula buku tersebut, Don bertemu dengan Meri, seorang gadis misteri yang sedang mencari ibu bapanya.

Dari situ, bermulalah satu pengembaraan magis bersama rakan-rakan baharu mereka, menjelajahi dunia unik bernama Kampung Seruni yang penuh dengan keajaiban dan pelajaran kehidupan yang mendewasakan.

Runut bunyi juga menjadi pelengkap kuat kepada penceritaan. Lagu “Kumpul Bocah” oleh MALIQ & D’Essentials dan balada menyentuh hati “Selalu Ada Di Nadimu” nyanyian Bunga Citra Lestari memberi lapisan emosi tambahan dalam perjalanan watak-watak utama.

Menariknya, malam gala dan tayangan perdana filem ini turut menyaksikan persembahan istimewa daripada pelakon suara utama Prince Poetiray, yang menyanyikan lagu tema “Selalu Ada Di Nadimu” secara langsung di hadapan tetamu dan peminat.

Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran pengarah filem Ryan Adriandhy, penerbit Novia Puspa Sari.

Pengarah, Ryan Adriandhy mendedahkan bahawa Jumbo merupakan hasil ciptaan asli yang dimulakan sepenuhnya dari kosong, tanpa skrip awal, rekaan watak, mahupun rujukan sedia ada.

“Ini adalah filem yang dibina dari kosong. Tiada skrip, tiada rekaan watak, tiada siri, tiada apa-apa. Kami hanya bergerak dengan idea dan semangat,” katanya dalam sidang media selepas tayangan perdana di GSC Starling Mall semalam.

Beliau menjelaskan bahawa keseluruhan proses dari idea hingga ke layar mengambil masa hampir lima tahun.

“Kami mula mencipta idea sekitar pertengahan 2019, kemudian menyiapkan skrip pada 2020 ketika pandemik. Selepas itu, kami mula membangunkan lakaran dan rekaan watak,”

“Walaupun kita boleh belajar pelbagai perisian dan teknik, pada akhirnya, yang paling penting ialah siapa diri kita dan jenis cerita yang kita mahu sampaikan dengan jujur dan sepenuh hati.” katanya.

Sementara itu, penerbit Jumbo, Novia Puspa Sari, berkata pihaknya di Visinema percaya bahawa filem keluarga yang tulus mampu menyatukan masyarakat.

“Sejak awal, kami tak sekadar buat filem. Kami cipta ruang selamat untuk keluarga ketawa, menangis, dan mengingati semula zaman kecil mereka. Kami sangat berbesar hati dapat berkongsi Jumbo dengan penonton Malaysia, Singapura dan Brunei,”

“Semoga Jumbo membangkitkan rasa kagum, keceriaan dan memperkukuh hubungan budaya antara negara kita,” katanya.

Selain Prince Poetiray, pelakon suara juga dibarisi nama popular Indonesia seperti Quinn Salman, Yusuf Ozkan, Graciella Abigail, M. Adhiyat, Bunga Citra Lestari, Ariel NOAH, Angga Yunanda dan Cinta Laura Kiehl.

Jumbo merupakan terbitan Visinema dan diedarkan di Malaysia oleh Skop Production dengan kerjasama Komet Production.

Dengan tema universal yang disampaikan dalam bentuk animasi kreatif dan penuh warna, Jumbo dijangka memberi impak istimewa kepada penonton serantau.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan keajaiban Don, Meri dan dunia Kampung Seruni yang sarat dengan nilai murni dan fantasi mengujakan, bermula 26 Jun ini di pawagam seluruh Malaysia.

Layari www.tgv.com.my untuk mendapatkan tiket anda!

Komen
Loading...