Kumpulan rock alternatif popular tanah air, Akim & The Majistret (ATM) kembali mencuri perhatian peminat muzik dengan pelancaran single terbaharu berjudul ‘Juliet’.
Karya yang sarat dengan emosi, keberanian, dan kejujuran perasaan ini dilihat selari dengan identiti muzik matang yang terus diperjuangkan oleh mereka.
Single ‘Juliet’ merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh anggota kumpulan ATM sendiri, manakala liriknya mendapat sentuhan puitis daripada Bunga Cantik.
Lagu ini mengetengahkan kisah cinta yang tidak bersandarkan kepada kesempurnaan, sebaliknya diraikan melalui keberanian untuk jujur dan setia kepada perasaan sendiri.
Menurut vokalis utamanya, Akim Ahmad, lagu ini membawa maksud yang jauh lebih mendalam berbanding sebuah kisah cinta biasa.
“Bagi saya, ‘Juliet’ adalah mengenai keberanian untuk mencintai dengan jujur walaupun dunia di sekeliling kita sering memaksa kita berpura-pura. Lagu ini dekat dengan realiti mengenai hubungan, keikhlasan dan bagaimana kita mempertahankan perasaan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Pelancaran ‘Juliet’ hadir selepas siri kejayaan besar yang dicatatkan oleh ATM sebelum ini.
Antara pencapaian paling membanggakan termasuklah lagu ‘Potret’ yang merekodkan 33 juta tontonan di YouTube, serta kemenangan lagu ‘Saksama’ sebagai Lagu Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-24 dan tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39.
Tambah Akim, proses rakaman kali ini memberikan pengalaman yang cukup berbeza buat seluruh anggota kumpulan kerana mereka mahu setiap karya yang dikeluarkan mempunyai ‘jiwa’.
“Kami mahu ‘Juliet’ lahir daripada perbincangan panjang dalam studio mengenai apa yang kami rasa sebagai manusia, bukan hanya sebagai pemuzik. Saya harap pendengar boleh merasakan emosi itu apabila mereka mendengar lagu ini,” ujarnya lagi.
Dengan susunan muzik yang kemas dan melodi yang kuat, ‘Juliet’ dijangka mampu mengulangi kejayaan single terdahulu seperti ‘Rampas’ dan ‘Mewangi’ yang masing-masing mencatat jutaan tontonan serta mengungguli carta radio tempatan.
Kejayaan berterusan ini membuktikan keserasian Akim bersama barisan pemuzik ‘The Majistret’ dalam menampilkan muzik yang relevan dengan generasi masa kini.
Single ‘Juliet’ terbitan Nova Music Malaysia mula menemui peminat di semua platform penstriman muzik pada Jumaat, 9 Januari 2026.




