Juliana Evans Tolak Watak ‘Penyondol’, Anggap Tidak Mencabar dan Klise
- oleh Mohd Indera
- 4 minggu lalu
Pelakon dan pengacara terkenal Juliana Evans mendedahkan bahawa beliau pernah menerima tawaran untuk melakonkan watak ‘penyondol’, tetapi memilih untuk menolak kerana menganggap peranan seperti itu tidak mencabar dan terlalu klise.
Menurutnya, watak sedemikian bukanlah sesuatu yang dapat memperkasa wanita atau memberikan nilai positif kepada penonton.
“Saya pernah ditawarkan watak ‘penyondol’, tetapi saya tolak. Bagi saya, watak sebegini tidak mencabar. Ia hanya sekadar memenuhi stereotaip yang biasa, dan saya tidak mahu terlibat dengan naratif yang melemahkan wanita,” katanya.
Juliana atau nama penuhnya Che Puan Juliana Sophie binti Johari Evans menjelaskan bahawa watak-watak seperti ‘penyondol’ sering memaparkan sisi negatif wanita, sekali gus memperkukuhkan tanggapan yang salah terhadap golongan wanita dalam masyarakat.
“Hampir setiap drama atau filem yang saya lihat ada watak wanita seperti ini – mengacau rumah tangga, memanipulasi keadaan, dan sebagainya. Lama-kelamaan, ia menanamkan kebencian terhadap wanita. Saya tak mahu jadi sebahagian daripada naratif ini,” tegasnya.
Juliana turut menyeru pembuat kandungan agar menghasilkan naskhah yang lebih bermaruah dan relevan dengan realiti.
Menurutnya, watak wanita harus lebih beragam dan memberi inspirasi, bukan sekadar memenuhi tuntutan drama yang sensasi.
“Kita perlu menunjukkan cabaran sebenar yang dihadapi wanita, seperti keberanian, kekuatan, dan kebijaksanaan mereka, bukannya menonjolkan kelemahan atau sifat manipulatif semata-mata,” tambahnya.
Pelakon berbakat ini menekankan bahawa beliau kini lebih selektif dalam memilih watak yang selaras dengan visi dan prinsipnya sebagai seorang pelakon.
Juliana ditemui media di majlis tayangan perdana filem Bisikan Dosa yang di TGV KLCC, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam filem Bisikan Dosa, Juliana membawa watak Dr. Delina isteri kepada Ayden (lakonan Farid Kamil).
Juliana menyatakan bahawa beliau lebih berminat untuk membawa watak yang mencerminkan kekuatan wanita, seperti peranan seorang ibu pelindung atau seorang wanita yang berdikari.
“Watak seperti Dr. Delina – seorang wanita kuat dan penuh inspirasi – itulah yang saya mahu bawakan lebih banyak. Saya mahu tunjukkan kehebatan menjadi seorang wanita, bukan perkara-perkara negatif,” katanya.
Dalam kesibukannya kembali aktif selepas berehat selama beberapa tahun, Juliana turut berkongsi cabaran peribadi untuk mengimbangi tanggungjawab sebagai ibu kepada dua anak kecil dan kerjayanya.
“Saya tahu anak-anak mungkin tak faham sekarang kenapa saya sibuk bekerja. Tapi saya mahu mereka tahu, ibu mereka bekerja keras bukan kerana duit semata-mata, tetapi kerana minat dan semangat dalam bidang seni,” ujarnya.
Juliana juga mengungkapkan hasratnya untuk menyumbang kepada perubahan industri dengan menghasilkan karya melalui syarikat produksinya sendiri.
Dengan pengalaman dan pengetahuannya dalam dunia perfileman, beliau bercadang untuk menerbitkan naskhah yang membawa mesej positif dan bermakna.
“Saya dah belajar banyak tentang dunia perfileman, dan kini saya mahu guna pengalaman itu untuk menghasilkan karya yang membawa perubahan. Saya mahu naskhah yang saya terbitkan memberi inspirasi kepada orang ramai, terutama wanita,” tambahnya.
Filem Bisikan Dosa akan mula menghantui di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Januari 2025.