Ikuti Kami:

Juicy Luicy Gegar KL Ogos Ini dalam Ruang Inspirasi Festival 2025

Juicy Luicy Gegar KL Ogos Ini dalam Ruang Inspirasi Festival 2025

Kumpulan pop alternatif terkenal dari Indonesia, Juicy Luicy, bakal menggegarkan pentas Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang akan berlangsung pada 17 Ogos ini di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Expoindo dengan kerjasama Thrive itu menjanjikan sebuah pengalaman muzik yang bukan sahaja ‘happening’ dan emosional, tetapi juga penuh inspirasi buat peminat muzik tanah air, terutamanya generasi muda.

Menurut penganjur, pemilihan Juicy Luicy sebagai artis utama bukan satu kebetulan, sebaliknya berpaksikan populariti kukuh mereka di Malaysia menerusi lagu-lagu hit seperti Lantas, Lampu Kuning, Sialan dan banyak lagi.

“Juicy Luicy memiliki kekuatan dalam menyampaikan emosi yang dekat dengan jiwa pendengar. Lagu-lagu mereka bukan sekadar sedap didengar, malah penuh makna. Mereka antara band luar negara yang paling digemari anak muda Malaysia,” kata wakil Expoindo.

Apa yang membezakan RIF 2025 daripada konsert biasa adalah konsepnya yang turut mengetengahkan perkongsian kisah di sebalik karya serta perjalanan peribadi artis di pentas, menjadikannya pengalaman yang lebih intim dan bermakna.

“Kami mahu penonton bukan sekadar hadir untuk menyanyi bersama, tetapi juga pulang dengan inspirasi baharu. Inilah semangat Ruang Inspirasi yang ingin kami sebarkan,” tambahnya.

Menariknya, RIF 2025 akan menampilkan dua sesi persembahan dalam satu hari iaitu sesi tengah hari dan malam. Juicy Luicy akan tampil dalam sesi malam, manakala barisan artis seterusnya akan diumumkan minggu depan.

Sebagai platform yang menghubungkan pemuzik serantau, festival ini juga dijangka berkembang ke bandar-bandar utama lain di Malaysia untuk memupuk semangat komuniti serta mengeratkan hubungan antara industri muzik Malaysia dan Indonesia.

Harga tiket sesi malam Juicy Luicy bermula dari RM128 hingga RM528 bergantung kepada kategori tempat duduk. Tiket tambahan untuk sesi bergambar berharga RM150.

Tiket mula dijual pada 3 Julai 2025 (Khamis), jam 12 tengah hari melalui aplikasi BBO Events atau laman rasmi ri-fest.com/kualalumpur

Untuk perkembangan lanjut dan pengumuman terkini artis lain, orang ramai disarankan mengikuti Instagram dan TikTok rasmi RIF di @rifest.my

Komen
Loading...