Juara Travel Tawar Pakej Haji Lengkap, Selesa Dan Berpatutan Mulai RM47,000
- oleh MDaily Editor
- 30 Oct 2025 8:39 pm
Dari kiri: Puan Hajah Rosnah binti Wagino, Pengarah Urusan, Juara Travel & Tours Sdn Bhd; Tuan Haji Muhammad Al-Makki, Pengurus Haji & Tanah Suci, Juara Travel & Tours Sdn Bhd.
Syarikat pelancongan Islam, Juara Travel & Tours Sdn Bhd, terus membuktikan komitmen dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji apabila menawarkan pakej haji lengkap, selesa dan berpatutan bermula daripada RM47,000 bagi musim haji 1447 Hijrah/2026 Masihi.
Juara Travel antara 31 syarikat yang menerima Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar, pada majlis yang berlangsung di Mövenpick Hotel and Convention Centre KLIA, hari ini.
Menurut Pengarah Urusan Juara Travel & Tours Sdn Bhd, Puan Hajah Rosnah binti Wagino, pelantikan semula ini membuktikan kepercayaan berterusan pihak TH terhadap kemampuan dan kecekapan syarikat dalam menguruskan jemaah haji.

Puan Hajah Rosnah binti Wagino, Pengarah Urusan, Juara Travel & Tours Sdn Bhd
“Alhamdulillah, ini tahun ketujuh kami menerima amanah sebagai Pengelola Jemaah Haji. Dengan pengalaman luas dan pasukan yang berpengalaman lebih 25 tahun, kami yakin mampu merealisasikan impian bakal jemaah untuk menunaikan haji dengan tenang dan selesa,” katanya.
Tambahnya, Juara Travel sentiasa menitikberatkan aspek kebajikan dan keselesaan jemaah melalui penawaran pelbagai pakej menarik yang memenuhi keperluan berbeza setiap jemaah.
“Kami pastikan setiap hotel yang digunakan selesa, dengan fasiliti mencukupi dan harga yang mampu milik. Setiap perincian diurus dengan teliti bagi memastikan pengalaman jemaah berjalan lancar dari tanah air hingga ke Tanah Suci,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengurus Haji & Tanah Suci Juara Travel, Tuan Haji Muhammad Al-Makki, berkata syarikat berkenaan menawarkan empat kategori pakej utama iaitu ekonomi, standard, premium dan premium plus, dengan harga tertinggi sekitar RM125,000.
“Setiap pakej dilengkapi kemudahan asas seperti penginapan tidak lebih 500 meter dari Masjidil Haram, makan tiga kali sehari dan perkhidmatan pengiring profesional. Tambahan pula, kami berikan nilai tambah percuma seperti tiket tren laju Mekah–Madinah serta penginapan di 5 bintang untuk kemudahan jemaah,” jelasnya.

Pengurus Haji & Tanah Suci Juara Travel, Tuan Haji Muhammad Al-Makki menerima Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) daripada Lembaga Tabung Haji (TH) yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar.
Beliau berkata, setakat ini Juara Travel mempunyai 28 cawangan di seluruh Malaysia dan telah menguruskan lebih 148,000 jemaah umrah serta lebih 1,200 jemaah haji sejak diberi lesen PJH pada tahun 2018.
“Kekuatan kami terletak pada organisasi yang kukuh, petugas berpengalaman dan keupayaan kewangan yang mantap. Kami memastikan semua perkhidmatan berjalan mengikut piawaian ditetapkan Tabung Haji,” katanya.
Hajah Rosnah turut menasihati bakal jemaah agar lebih berhati-hati memilih agensi pengurusan haji bagi mengelakkan ditipu pihak tidak bertanggungjawab.
“Pilihlah syarikat yang tersenarai dan diiktiraf oleh Tabung Haji. Pastikan semak status lesen dan kemampuan agensi sebelum membuat bayaran. Insya-Allah, Juara Travel kekal sebagai pilihan yang diyakini dan dipercayai,” katanya.
Dengan rekod bersih dan reputasi kukuh lebih dua dekad, Juara Travel kekal bertekad meneruskan misi membantu umat Islam menunaikan “Haji Mabrur Bersama Juara Travel” dengan penuh amanah dan keikhlasan.
Untuk keterangan lanjut, hubungi talian 03-9226 7105 atau layari www.juaratravel.com.my




