Joy Ubati Kerinduan 1,500 Peminat di Zepp Kuala Lumpur
- oleh MDaily Editor
- 1 May 2026 12:20 pm
Kehadiran bintang K-pop popular, Joy, ke ibu negara menerusi siri jelajah solo pertamanya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH), berjaya mengubati kerinduan lebih 1,500 peminat yang membanjiri ruang Zepp Kuala Lumpur, malam tadi.
Konsert yang berlangsung selama hampir dua jam itu bukan sekadar sebuah persembahan pentas, malah menjadi medan pertemuan intim buat pemilik nama sebenar Park Soo-young itu bersama peminat setianya, ReVeluvs, selepas sekian lama menanti kehadirannya di Malaysia.
Joy memulakan ‘pesta percikan cinta’ dengan lagu bertenaga Hello, yang serta-merta membangkitkan suasana gamat sebelum meneruskan momentum dengan rangkaian lagu hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu.
“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” katanya dalam nada teruja sambil menyapa peminat.

Suasana di Zepp Kuala Lumpur terus hangat apabila Joy mendendangkan beberapa siri lagu daripada runut bunyi (OST) drama popular Korea antaranya Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Selain kekuatan vokal, ahli kumpulan Red Velvet itu turut memukau penonton dengan aksi tarian lincah menerusi lagu-lagu ikonik kumpulannya seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo.
Momen paling menyentuh hati apabila Joy membacakan surat daripada seorang peminat yang meluahkan rasa syukur kerana karya-karya penyanyi itu menjadi ‘penyelamat’ dan pembakar semangat dalam mendepani masalah keresahan (anxiety).
“Karya anda membuat saya rasa selamat dan menyentuh hati,” ujar Joy selepas membaca isi surat tersebut yang disambut dengan sorakan sokongan daripada peminat lain.

Segmen interaktif turut menjadi tumpuan apabila Joy melakukan persembahan secara acapela bagi lagu Ice Cream Cake bersama penonton, selain meluangkan masa bermain permainan teka lukisan dan berbalas pesanan kasih sayang di atas pentas.
Menutup tirai konsert, Joy memilih lagu Love Splash, Day by Day, Happy Birthday To You dan Scent of Green, sebelum mengakhiri segmen encore dengan hit popular Zimzalabim, You Better Know serta Hello.
“Melihat anda semua berkongsi momen manis dan menikmati Joy Splash membuatkan saya rasa telah melakukan keputusan yang tepat dengan siri jelajah ini,” tambahnya sebelum meninggalkan pentas.
Kejayaan konsert solo Joy ini menyusul selepas rakan sekumpulannya, Irene dan Seulgi mengadakan jelajah BALANCE World Tour pada September lalu, serta konsert solo Wendy, W: EALIVE pada Disember lepas di lokasi yang sama.
Rata-rata peminat yang ditemui menyifatkan kualiti vokal dan personaliti Joy sebagai luar biasa, selain menzahirkan harapan agar kumpulan Red Velvet dapat kembali bersatu dalam satu konsert berkumpulan di Malaysia pada masa akan datang.
