Ikuti Kami:

Joy Red Velvet Pilih Kuala Lumpur, Jelajah Asia ‘JOY SPLASH’ April Ini

Joy Red Velvet Pilih Kuala Lumpur, Jelajah Asia ‘JOY SPLASH’ April Ini

Anggota kumpulan K-pop popular Red Velvet, Joy, bakal mengubati kerinduan peminat di Malaysia apabila memilih Kuala Lumpur sebagai antara destinasi utama bagi siri jelajah Asia solonya, 2026 JOY ASIA TOUR “JOY SPLASH”.

Konsert yang dinanti-nantikan itu dijadualkan berlangsung pada 25 April 2026 (Sabtu), jam 8.00 malam bertempat di Zepp Kuala Lumpur.

Pengarah Zues Event Sdn Bhd, Jeffery Chin dalam satu kenyataan berkata, pemilihan Kuala Lumpur dibuat berdasarkan sokongan luar biasa yang diberikan oleh peminat tempatan, atau dikenali sebagai ReVeluv, terhadap kerjaya solo bintang berkenaan.

“Kami merasakan Kuala Lumpur sangat layak untuk menjadi sebahagian daripada lembaran baharu pengembaraan solo Joy menerusi ‘JOY SPLASH’.

“Malam itu nanti bukan sekadar persembahan muzik, malah ia bertujuan membina hubungan istimewa antara Joy dan peminatnya di sini,” katanya.

Konsert berdurasi 120 minit itu menjanjikan pengalaman audio-visual yang imersif dengan produksi pentas yang stylish, segmen interaktif, serta susunan lagu daripada album solo popularnya khas untuk peminat di Malaysia.

Harga tiket ditawarkan bermula dari RM398, RM498, RM598 sehingga RM698 (tidak termasuk 8% SST dan caj pemprosesan). Setiap transaksi dihadkan kepada maksimum empat tiket sahaja.

Bagi mereka yang tidak mahu melepaskan peluang, tiket konsert akan mula dijual pada 7 Mac 2026 bermula jam 12.00 tengah hari menerusi laman web etix.my.

Kehadiran Joy ini menyusuli kejayaan rakan sekumpulannya, Irene, Seulgi, dan Wendy yang sebelum ini turut pernah menjayakan siri persembahan solo dan sub-unit di ibu kota, sekaligus membuktikan pengaruh besar Red Velvet di pasaran muzik tempatan.

Loading...