Ikuti Kami:

Jom Sertai Nabila Razali Di BMC Family 360° Di Bandar Mahkota Cheras

Jom Sertai Nabila Razali Di BMC Family 360° Di Bandar Mahkota Cheras

Penyanyi popular dan ikon generasi muda, Nabila Razali, mengajak orang ramai khususnya keluarga di sekitar Lembah Klang untuk bersama-sama memeriahkan BMC Family 360°, acara keluarga mampan terbesar yang bakal berlangsung di BMC Mall, Bandar Mahkota Cheras bermula 19 hingga 21 September ini.

Bertemakan “A Step to the Future”, acara anjuran AI Global dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), BMC Mall, iBidan dan CelcomDigi ini akan diadakan dari jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.

Program berskala besar ini menampilkan pelbagai aktiviti berasaskan konsep Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG), dengan matlamat memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan dan gaya hidup pintar.

Selaku ikon generasi muda, aktif serta berpengaruh, Nabila Razali yang turut menggalas tanggungjawab sebagai jurucakap BMC Family 360° mengakui dia kini semakin giat membuat persiapan serta mempraktikkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di dalam kehidupan sehariannya.

“Saya sedar peranan saya sangat besar dalam acara ini. Selain membuat persembahan saya juga perlu ‘mencelikkan’ pengetahuan serta menyebarkan kesedaran tentang pentingnya SDG dalam kehidupan kita seharian.

“Sebagai permulaan saya sendiri sudah mula mengubah gaya hidup dengan menerapkan unsur-unsur SDG sebagai rutin hidup bermula dengan aspek kesihatan, pendidikan, pengunaan sumber air dan elektrik yang berhemah serta memastikan persekitaran yang baik dan sejahtera untuk ahli-ahli keluarga.

“Ia sebenarnya tidak sesusah mana. Yang penting kita harus memulakannnya kerana acara ini sasaranny adalah untuk memperkukuh nilai kekeluargaan, komuniti mampan serta gaya hidup pintar,” katanya.

Antara acara utama yang menanti termasuk upacara perasmian bersama Nabila Razali pada 19 September, diikuti persembahan Malam SDG pada 20 September yang mengetengahkan gabungan muzik, budaya dan mesej kemampanan.

Selain itu, pengunjung juga bakal disajikan dengan pameran Angkatan Tentera Malaysia, pameran agensi kerajaan, swasta serta NGO selaras dengan 17 UN SDG, selain pelbagai aktiviti kekeluargaan, pameran inovasi dalam bidang pendidikan, teknologi, kesihatan, makanan dan gaya hidup lestari.

Turut diadakan mini zoo untuk kanak-kanak serta segmen Esports dan ruang permainan interaktif yang menghiburkan ibu bapa dan anak-anak.

Acara julung kali ini dijangka menarik lebih 10,000 pengunjung dari Kajang, Cheras dan seluruh Lembah Klang, menjadikannya platform terbaik untuk masyarakat setempat menikmati hujung minggu penuh ilmu, hiburan dan kebersamaan.

Komen
Loading...